Orang Ramai Dinasihatkan Berwaspada, Potensi Banjir Kilat Peralihan Monsun
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 30 September 2022 – Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada susulan fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 3 Oktober 2022 dan berterusan sehingga November ini, menurut kenyataan media dari METMalaysia.
Lapor METMalaysia, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei lalu.
Jelasnya, fasa Peralihan Monsun ini akan menyebabkan rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang bakal mendatangkan ribut petir. Ia sekali gus boleh menyebabkan berlakunya hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Bukan itu sahaja, kejadian tersebut dijangka berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.
Ia juga berpotensi untuk mengakibatkan berlakunya banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Justeru, orang ramai diingatkan untuk peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan. Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.