Orang Pulau Pinang Buat Pembelian Panik, Bekalan Air Terputus
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEBERANG PERAI, 07 Julai 2022 – Penduduk Pulau Pinang semalam melakukan pembelian panik air mineral selepas beberapa kawasan dilaporkan terputus bekalan air secara tiba-tiba.
Gangguan bekalan air itu melibatkan seluruh kawasan penduduk termasuk di daerah Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai.
Kosmo! melaporkan, tinjauan mereka di Seberang Perai dan sebelah pulau di sini petang semalam mendapati ramai isi rumah dilihat menyerbu kedai dan pasar raya besar serta mini bagi mendapatkan stok minuman tersebut.
Berikutan itu, banyak premis dikatakan sudah mula kehabisan bekalan air mineral bersaiz 1.5 liter dan 5 liter.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, operasi loji rawatan air (LRA) di Sungai Dua, terpaksa dihenti tugas selama empat jam semalam kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.
Operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di kawasan Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.