Orang Melayu Sendiri Label Orang Sebagai Religious Bigot
KUALA LUMPUR, 03 April 2023 – “Manakala soal agama pula, memang semakin hari semakin ditekan. Sekarang ini jika ada sesiapa yang bersuara bercakap soal agama maka mereka akan dilabel sebagai Religious Bigot. Bukan oleh orang lain tetapi oleh orang Melayu Islam sendiri termasuklah pemimpin politik. Jadi, umat Islam hanya boleh bercakap pasal solat, puasa, bayar zakat dan haji sahaja, lebih dari itu akan dianggap ektremis atau pelampau,” kata Timbalan Pengerusi GTA, Hj Aminuddin Yahaya.
Perkara ini disuarakannya menerusi laman Facebook sewaktu mengulas mengenai konsep ekonomi kapitalis.
Ujarnya, umat Islam sering ditekan supaya lebih ‘terbuka’, bersabar, bertoleransi dan sebagainya seolah-olah tidak ada sempadan dan noktah. Orang politik pula semuanya takut nak cakap pasal agama sebab takut hilang undi.
“Integriti dan toleransi adalah dua ‘buzz words’ yang menjadi mantra kepada rakyat. Soal agama dan bangsa semakin hilang malah dianggap semakin hina dan ketinggalan zaman.”
Kata beliau, perkara ini sememangnya bukanlah sesuatu yang mustahil dalam konsep ekonomi kapitalis ini.
“Dalam dunia yang mementingkan ekonomi dan kesejahteraan kewangan, elemen agama dan bangsa bukan lagi menjadi perkiraan. Kalaulah dibuat kajian/survey dikalangan rakyat negara ini saya yakin faktor ekonomi dan kewangan akan menjadi isu utama yang didambakan.”
Tambah Hj Aminuddin, ekonomi ditentukan oleh orang kaya, bukan rakyat jelata. Jadi amat sukar untuk kita menyalahkan orang Melayu yang menjual tanah-tanah mereka hanya sekadar untuk menyara kehidupan.
BACA JUGA: Fenomena Gerhana Matahari 30 Ramadan Ini
BACA JUGA: Laluan Utama Jalan Terengganu-Kuantan Ditutup Mulai Esok
BACA JUGA: Mogok Doktor Kontrak, PM Digesa Campur Tangan
“Walaupun kita sedih sedikit demi sedikit Tanah Rizab Melayu dijual tetapi kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita sendiri tidak mampu membela nasib mereka. Lebih malang, tanah ini biasanya akan dibeli oleh orang bukan Melayu kerana mereka sahaja yang mempunyai sumber kewangan yang besar.”
Kata aktivis itu lagi, bukan sahaja kita sudah dididik dengan kerangka ekonomi kapitalis Barat dan dalam masa yang sama elemen agama menjadi semakin terhakis.
“Sesiapa yang memperjuangkan integriti dan toleransi semata-mata maka mereka mempunyai peluang amat cerah untuk muncul sebagai pimpinan negara. Inilah sifir mudah untuk menang dalam pilihan raya dan menjadi pemimpin.”
Mengakhiri kenyataan, Hj Aminuddin turut melemparkan satu persoalan;
“Persoalannya; jika inilah dasar yang menjadi teras pertimbangan pengundi, maka apakah mungkin satu hari nanti negara akan mempunyai seorang Perdana Menteri bukan di kalangan orang Melayu?