Tempatan

Orang Melayu Perlu Buat Pilihan Bijak – PPIM

KUALA LUMPUR– Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kaum Melayu di negara ini mengabaikan cubaan memecahbelahkan mereka. Ia amat menyedihkan apabila perpecahan yang berlaku adalah di kalangan kaum Melayu sendiri.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan merasa amat kesal dengan situasi yang berlaku sekarang khususnya dalam arena politik negara.

“Perkara ini amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan kaum Melayu adalah orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Adakah orang Melayu sudah hilang rasa malu dan selesa bergaduh secara terbuka di hadapan orang lain?

Nadzim berpendapat masyarakat Melayu di negara ini amat mementingkan diri tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perbuatan mereka sendiri.

“Adakah kita mahu orang Melayu di sini menerima nasib yang sama seperti kaum Melayu Champa atau kaum Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?

Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, saya bimbang dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan kaum Melayu masa kini,” katanya.

Tambah Nadzim lagi, ahli politik Melayu sepatutnya belajar dari parti DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina negara ini walaupun mereka tidak sependapat dalam arena politik.

“Kita pilih nak lemah atau nak kuat dan dihormati. Jika kita bersatu, kita dihormati dan jika kita berpecah kita akan lemah dan akan dihina.

Buatlah pilihan bijak dan perlu buang kesombongan dan sanggup berkorban seperti bangsa-bangsa yang berjaya,” katanya.

Nadzim menyeru rakyat Malaysia khususnya orang Melayu di negara ini untuk bertindak dan menguatkan perpaduan di kalangan kaum Melayu dan mengabaikan pihak yang cuba memecahbelahkan orang Melayu.

“Kesan perpecahan kaum ini amat bahaya, jika bukan sekarang, saya khuatir kita akan kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kita semua akan berakhir dengan tragedi,” katanya.

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button