Orang Asli Tidak Boleh Tuai Hasil Hutan Simpan Untuk Komersial
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Ogos 2022 – Orang Asli yang tinggal di hutan simpan kekal tidak dibenarkan untuk menuai hasil hutan bagi tujuan komersial, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Anak Biju.
“Pada asasnya, penuaian hasil hutan hanya dibenarkan untuk kegunaan domestik, bukan untuk tujuan komersial,” kata beliau dalam menjawab soalan kepada Senator Apandi Mohamad (PAS) sewaktu sesi penggulungan pembentangan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bacaan kedua.
Dalam pembentangan itu, Apandi turut mengutarakan soalan adakah langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang memperuntukkan kawasan hutan seluas 2.4 hektar untuk dibangunkan oleh Orang Asli bagi tujuan ekonomi bertentangan dengan akta tersebut.
Menjawab kepada pertanyaan itu, Ali mengatakan bahawa aktiviti tersebut dibenarkan dan tidak bertentangan dengan akta yang sedang dipinda kerana bidang tanah itu diperuntukkan khas untuk masyarakat bagi aktiviti komersial termasuk penanaman pokok kelapa sawit.
“Tidak bertentangan kerana enam ekar ini dikhaskan untuk Orang Asli buat komersial, boleh tanam sawit.”
“Jadi enam ekar dibuat untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli sebenarnya supaya dia tidak mengambil kawasan di hutan lain. Usaha Kerajaan Kelantan memang patut,” ujarnya.
Ali Biju yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata, setakat ini terdapat 850 perkampungan Orang Asli di seluruh negara yang majoritinya terletak dalam hutan simpan.