Tempatan

OPR Naik, 50,000 Syarikat PKS Gulung Tikar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LUMPUR, 09 Disember 2022 – “Sekiranya OPR dinaikkan melebihi daripada yang sepatutnya, kami jangkakan 50,000 lagi peniaga bakal gulung tikar tahun hadapan dan ia ekoran ketidaktentuan ekonomi global 2023,” kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin.

Menurutnya, jika Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) melebihi paras 3.25 peratus pada tahun depan, ia akan menjejaskan hampir 50,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Statistik DPMM juga merekodkan lebih 30,000 pengusaha PKS, terutamanya Melayu dan Bumiputera, muflis pada tahun ini dan menjangkakan 30,000 hingga 50,000 pengusaha akan gulung tikar.

Perkara ini disebabkan pertambahan bayaran pinjaman yang dikenakan terhadap golongan berkenaan ekoran kenaikan OPR. Justeru itu beliau menggesa Kerajaan supaya lebih peka dan mengambil langkah komprehensif dengan membantu golongan berkenaan sekiranya OPR naik secara berterusan.

Jelasnya, DPMM mencadangkan pemberian moratorium selama tiga bulan kepada pengusaha setiap kali BNM menaikkan OPR supaya mereka dapat menyesuaikan diri bagi membayar pinjaman yang semakin bertambah.

“Pengusaha ini mempunyai masa menyelaraskan harga jualan di pasaran bagi membolehkan mereka membayar pinjaman secara berterusan,” katanya.

Abdul Halim juga berpandangan bahawa pemberian moratorium adalah kaedah terbaik untuk membantu PKS berbanding penstrukturan semula pinjaman. Menurut beliau, penstrukturan semula pinjaman dengan menambah tempoh bayaran akan membebankan peniaga kecil bagi tempoh yang lama.

“Kalau mereka memanjangkan pembayaran kita tetap kena membayar cuma kita membayar pada masa lebih panjang, bermakna ada kemungkinan ge­nerasi kedua terpaksa membayar hutang tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: