Tempatan

Operasi Selamat Sawadee: Selamat Datang Anj*ng Razak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 30 Ogos 2022 – “Dalam Op Selamat Sawadee, kami diberitahu terdapat sebuah kem di mana kami diarahkan untuk mencari kem tersebut,” kongsi Mejar Rajasaikaran tentang pengalamannya berhadapan dengan pihak komunis.

Ujarnya, Pegawai Memerintah (Officer Commanding) dalam operasi pada 20 Jun 1978 itu, Mejar Doraisamy telah menjumpai kem tersebut.

“Wujud kesan dan jejak yang menunjukkan kem tersebut baru sahaja ditinggalkan. Mungkin mereka tahu pasukan komando datang dan telah larikan diri.”

“Situ ada banner yang ditinggalkan tulis, “Selamat datang anj*ng Razak” dan ada gambar kaki putus. Jadi menunjukkan kawasan tu ada bobby trap lah,” kata Mejar Rajasaikaran lagi sewaktu sesi bual bicara ‘Perkongsian Kisah Perjuangan Mempertahankan Negara’ anjuran Dewan Bahasa Pustaka.

Mejar Rajasaikaran dan pasukannya yang ketika itu bersama-sama bergerak sebelum diarahkan untuk pergi ke sektor lain kemudiannya mendapat arahan RTB: Ration Tambah Berat.

“RTB, Ration Tambah Berat. Tambah makanan melalui airdrop. Saya bawa dalam 7 hingga 8 orang untuk cari kawasan sesuai untuk airdrop makanan. Ketika saya bergerak, saya dapati satu kawasan tu nampak terang. Jadi saya suspicious. Tiba-tiba bulu roma saya pun naik. Jadi saya minta anggota buat standard line dan bergerak ke kawasan yang nak dituju. Ketika kami bergerak balik, apabila sampai dekat kawasan yang terang tadi, tiba-tiba anggota depan saya, Lans Koperal Sabri, bagi tanda kepada saya menunjukkan dia jumpa sesuatu. Rupa-rupanya ada dua karung beg yang disandarkan pada pokok,” katanya lagi.

Menurut Mejar Rajasaikaran, beliau dan pasukannya terkejut kerana tiada sebarang beg dilihat sewaktu mereka melalui kawasan tersebut

“Tapi tiba-tiba, bila kami turun balik, ada beg. Ini bermaksud kami dah masuk dalam kawasan serang hendap musuh.”

Beliau dengan segera mengarahkan pasukannya membuat all round defence sekitar kawasan tersebut.

“Dalam waktu buat all round defence, tiba-tiba anggota saya nampak dua orang komunis sedang menghala naik menuju ke kami. Jadi, dia terus tembak komunis tersebut. Masa berlaku tembakan tu, ada serangan balas dari pihak mereka. Masa tengah berbalas tembakan, tiba-tiba saya dengar ada bunyi tembakan dari arah lereng bukit. Rupa-rupanya ada kawan mereka dekat sana yang tembak ke atas.”

Selesai sahaja pertempuran dengan kemenangan berpihak kepada pasukan tentera negara, Mejar Rajasaikaran dan pasukannya sekali lagi dikejutkan dengan penemuan lapan buah beg yang berada di lereng bukit.

“Cerita sebenarnya, selepas kami jumpa kem, kumpulan black ninja komunis, (komunis ada kumpulan black ninja yang jaga kem), dapat tahu kehadiran kami. Nasib mereka kurang baik sebab bertembung dengan kami,” ujarnya

Op Selamat Sawadee adalah operasi bersama antara Malaysia dan Thailand yang dilancarkan pada 24 April 1978 hingga 5 Julai 1980.

Objektif operasi ialah: “untuk memusnahkan Kompeni Ke-3 Rejimen ke-12, Kompeni ke-3, 4, 20 dan 25 PKM-ML dan PKM-KR yang berkonsepkan rondaan secara sistematik pada waktu siang dan serang hendap pada waktu malam dalam lingkungan jarak 1000 meter dari pangkalan PK.”

Kawasan operasi di sekitar kawasan Betong di selatan Thailand dan Kroh serta Banding, Perak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: