Oktoberfest: Aktiviti Arak Mesti Dalam Ruang Tertutup Dan Jauh Dari Masyarakat – Fahmi Bazlan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUCHONG, 03 Ogos 2022 – Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan dalam satu kenyataan menegaskan agar aktiviti Oktoberfest yang akan dilaksanakan dua bulan lagi, dibuat dalam ruang lingkup yang tertutup dan jauh daripada kalangan masyarakat.
Hal ini kerana, beliau berpandangan, aktiviti Oktoberfest ini masih menjadi agenda untuk menormalisasikan arak dalam komuniti yang berbilang kaum, termasuk golongan bangsa Melayu.
“Sedangkan kajian saintifik menunjukkan bahawa arak adalah sebahagian daripada jenis ‘drugs’ yang mengakibatkan mabuk, khayal dan ‘mental illness’ bahkan mungkin lebih merbahaya,” ujar Fahmi dengan tegas mengenai hal ini.
Dalam kenyataan sama, beliau turut berkongsi tindakan Kerajaan yang sebelum ini berjaya mengeluarkan penjualan arak dari premis khas yang kemudiannya ditempatkan di kedai serbaneka 24 jam dan betul-betul beroperasi begitu dekat dengan komuniti.
Oleh itu, beliau mengesa Kerajaan untuk sekali lagi mengambil tindakan dengan mengembalikan semula kedudukan arak itu di tempat yang tertutup dan jauh dari kalangan masyarakat.
Tambahan pula, Oktoberfest ini bakal membentuk naratif dan persepsi buruk terhadap negara kerana objektif sesebuah festival itu adalah sebagai usaha mewarnai identiti negara.
“Adakah kita ingin dikenali dengan negara dengan identiti arak?” soal Ketua Pemuda BERJASA tersebut.
“Ketika negara Eropah yang dianggap maju terkial-kial mencari jalan mengatasi masalah arak kerana halangan budaya yang telah terlalu lama, tiba-tiba di Malaysia, konon atas nama kebebasan, begitu bersungguh mahu menjadikan budaya arak ini sesuatu yang diperbolehkan secara terbuka dan diberi kebebasan,” ujar beliau sekali gus menutup kenyataannya.