Tempatan

Obesiti, Bantut Rakyat Malaysia Terus Meningkat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2024 – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan prevalen bantut dan obesiti menunjukkan peningkatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara ini.

Dr Dzulkefly Ahmad berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai statistik rakyat Malaysia yang mengalami bantut dan obesiti dari tahun 2013 hingga 2023 dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Katanya, prevalen bantut dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.

Menurutnya, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun juga meningkat daripada empat peratus pada 2015, 5.6 peratus pada 2019 dan 6.0 peratus pada 2022.

Katanya, bagi prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017.

“Sementara itu, prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017. Data ini menunjukkan satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes.”

“Prevalen obesiti dalam kalangan dewasa meningkat dari 19.7 peratus pada tahun 2019 kepada 21.8 peratus pada tahun 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Alias turut bertanyakan kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyemak semula keberkesanan program untuk mengatasi isu bantut dan obesiti itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, masalah bantut dan obesiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja.

Katanya, antara usaha berterusan KKM ialah menyemak semula pelaksanaan strategi dan program selari dengan dasar dan hala tuju kementerian seperti Kertas Putih Kesihatan, Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0, ‘Reviewed Nutrition Policy Options to Combat Obesity in Malaysia’ dan ‘National Strategic Plan for Non-Communicable Diseases’ 2016- 2025.

Selain itu katanya, antara program dan aktiviti yang disemak semula bagi mengatasi isu bantut dan obesiti seperti memperkukuh inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan dengan menyasarkan kumpulan ibu hamil sehingga kanak-kanak berumur dua tahun yang meliputi penjagaan kesihatan dan pemakanan.

“Memperluas kriteria penerima dalam Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan atau Program Bakul Makanan bermula Jun 2022.”

“(Dan) memperkasa Jurulatih Utama Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) daripada kalangan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengatasi masalah obesiti di sekolah,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: