NRES Bina 532 Infrastruktur, Pantau Kebakaran Tanah Gambut
KUALA LUMPUR, 03 Julai 2024 – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) membina 532 infrastruktur bagi mencegah dan memantau kebakaran di tanah gambut serta kawasan berisiko di tujuh negeri.
Menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, NRES memaklumkan kelengkapan di Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah itu dibangunkan menerusi Program Pencegahan dan Pemantauan Kebakaran di Tanah Gambut Serta Kawasan Lain Berisiko Kebakaran.
Antaranya menyediakan 108 telaga tiub, 305 sekatan saliran, 15 kolam takungan, enam menara tinjau, saluran paip air sejauh 3.3 kilometer dan 96 unit piezometer, iaitu alat yang digunakan untuk mengukur tekanan dalam cecair, seperti air dalam tanah atau tadahan air.
NRES dalam jawapan bertulis memaklumkan pencegahan kebakaran hutan juga diaktifkan melalui pelan tindakan sejak Mac lalu.
“Ia seperti Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut. Selain itu, tindakan persediaan menghadapi ancaman pembakaran tanah gambut mula dilaksanakan di kawasan berisiko terbakar.”
“Antara langkah itu ialah dengan melaksanakan pengaktifan telaga tiub dan sekatan saliran, peningkatan rondaan darat, penggunaan dron, rondaan penguatkuasaan, termasuk bersama komuniti serta melaksanakan program ujicuba Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut.”
Dalam pada itu, NRES memaklumkan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan negeri turut meningkatkan kesiapsiagaan dalam mencegah kebakaran hutan berikutan cuaca panas dan kering ekstrem.
“Ia melalui langkah melaksanakan pemantauan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), penggunaan dron dan sistem big data analytics bagi mengenal pasti kawasan hutan berisiko tinggi terbakar.”
“Selain itu, Pasukan Pemadaman Kebakaran Hutan di bawah JPSM turut bersiap siaga sebagai pasukan awal pemadaman insiden kebakaran hutan dalam HSK di Semenanjung.”
“Pasukan ini membabitkan kakitangan beruniform di Jabatan Perhutanan negeri, iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu,” menurut kementerian itu.
NRES juga memaklumkan, program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam terus dilaksanakan bagi menyampaikan kesedaran berkenaan larangan dan pencegahan pembakaran terbuka kepada rakyat.
Bagi pelan tindakan pantas mengawal dan memadam kebakaran, NRES mengaktifkan Pelan Pencegahan Kebakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan agensi negeri berkaitan.
“Selain itu, meningkatkan operasi pemantauan dan rondaan mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan pengawasan dron untuk memantau kawasan mudah terbakar serta kes kebakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.”
“Pihak berkaitan juga mengambil tindakan proaktif ke atas kes kebakaran dan mengenal pasti pemilik tanah di kawasan kebakaran untuk tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.”
“Selain itu, sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengawal dan memadam kebakaran dan sentiasa memantau bacaan dan trend Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui stesen pengawasan kualiti udara dari semasa ke semasa untuk memastikan tindakan berkaitan dapat diambil segera,” katanya.