Normalisasi Israel: Buku Teks Saudi Suntik Hubungan Baik Dengan Zionis
RIYADH, 07 Jun 2024 – Silibus buku teks sekolah di Arab Saudi dilaporkan mula menyuntik pendirian normalisasi hubungan baik antara negara itu dan Zionis Israel.
Memetik laporan, kajian IMPACT-se, syarikat yang memantau kurikulum pendidikan di wilayah Asia Barat dan Afrika Utara berkata, walaupun rujukan kepada pendudukan Israel masih boleh didapati dalam buku teks dan komitmen Arab Saudi terhadap perjuangan Palestin masih ditekankan, kurikulum negara itu tidak lagi menekankan Israel sebagai musuh atau negara musuh.
Selain itu, meskipun peta dalam buku teks tidak memaparkan nama Israel, mereka turut mengeluarkan nama Palestin walaupun sebelum ini ia meletakkan keseluruhan Palestin pada petanya.
Menerima reaksi dari Ketua Institut Dasar Luar Wilayah Israel, Nimrod Goren memuji usaha tersebut dan menganggapnya sebagai langkah kecil ke arah perubahan naratif terhadap negara haram Israel, selain mempamerkan keterbukaan dan toleransi.
Ujar Goren, “Proses itu menyerupai tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain pada dekad sebelum Perjanjian Abraham, satu langkah yang perlahan dan beransur-ansur yang mencerminkan toleransi dan normalisasi penglibatan, menjadikannya biasa dari segi persepsi awam.”