Norma Janggal LGBT
Gerakan memperjuangkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bermatlamat untuk menyokong penerimaan kedudukan dan hak samarata golongan LGBT dalam masyarakat semasa.
Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari masa ke semasa.
Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.
Di England terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman. Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh. Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup. Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau (gross indecency).
Akhirnya Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual di antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun.
Ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT. Namun secara perlahan, masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.
Pengiktirafan Perkahwinan Sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT. Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis. Malah kini terdapat beberapa otoriti agama yang mula mengiktiraf perkahwinan sejenis ini.
Walaupun LGBT merupakan suatu yang abnormal tetapi tetap diperjuangkan oleh sesetengah golongan sehinggalah kini dianggap norma lazim di negara-negara Barat kerana masyarakat sudah terlalu jauh dari agama dan pemikiran hak asasi individu mengatasi hak asasi masyarakat secara umum.
Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001. Setakat 2019, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di hampir 30 negara termasuk Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico, Taiwan, Australia dan Israel bersama-sama dengan dua puluh lima buah negeri di Amerika Syarikat.
Namun kini banyak negeri di Amerika Syarikat telah meneliti semula perundangan mereka berkaitan LGBT dan beberapa norma janggal lain seperti hak untuk menggugurkan janin, perkahwinan sejenis dan lain-lain. Perkembangan ini seolah meletak kembali kepercayaan adab adat dan nilai kehidupan beragama di tempat yang sewajarnya.
Homoseksual adalah sebahagian daripada perjuangan LGBT. Islam sememangnya melarang keras perbuatan tersebut. Terdapat nas Al-Quran yang memberi peringatan terhadap azab yang diturunkan kepada umat terdahulu mengenai maksiat berkaitan hubungan sejenis. Allah berfirman yang bermaksud:
Dan Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya, “Tergamak kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?”; “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” Tidak ada jawapan daripada kaumnya selain daripada berkata, “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari Bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah golongan yang berpura-pura menyucikan diri.”Maka kami selamatkannya dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya)melainkan isterinya, dia tergolong daripada orang yang dibinasakan. Dan kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinaskan). Oleh itu lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kejahatan. [Al-A’raf:80-84].
Daripada nas Al-Quran di atas, adalah jelas bahawa Allah S.W.T mencela perbuatan homoseksual dan menurunkan azab yang berat kepada pelaku-pelakunya sepertimana yang terjadi kepada kaum Nabi Lut di bandar Sodom dan Gomorrah.
Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan yang spesifik terhadap gerakan LGBT secara khusus. Namun perbuatan homoseksual dan perlakuan seksual di luar tabii adalah merupakan satu kesalahan berdasarkan sistem perundangan di Malaysia.
Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.
Selanjutnya, bagi kesalahan yang melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT.
1. Seksyen 25 memperuntukkan perbuatan liwat; (walaupun Mahkamah Persekutuan telah mengisytihar undang-undang sama di Selangor sebagai tidak berperlembagaan dan terbatal.)
2. Seksyen 26 memperuntukkan bahawa perbuatan musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan);
3. Seksyen 28 memperuntukkan bahawa orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral.
Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, adalah jelas bahawa kesalahan berkaitan LGBT adalah bertentangan dengan perundangan Malaysia.
Jangan diimport norma janggal tersebut ke tanah watan kita.
Membuka ruang kepada golongan ini sedikit demi sedikit, kita pasti akan mengalami nasib yang sama seperti apa yang berlaku di Eropah sebagaimana di atas.