NGO

NGO Hak Asasi Kecam Penahanan Wanita Komedi 15 Juzuk Oleh JAWI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2022 – Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Komuniti Muslim Universal (KMU Malaysia) dalam satu kenyataan media mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menahan Siti Nuramira Abdullah, wanita yang didakwa menghina Islam dalam sebuah persembahan komedi.

Penahanan Siti Nuramira oleh JAWI yang ditunggu oleh lapan pegawai penguat kuasa JAWI di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta itu terasa seperti ‘satu pemburuan’ memandangkan penahanan itu berlaku sebaik sahaja dia dibebaskan dengan ikat jamin atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, dakwa NGO Hak Asasi tersebut dalam kenyataan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NGO Hak Asasi itu lagi, terdapat risiko bahaya berganda sekiranya JAWI meneruskan pendakwaan terhadap Siti Nuramira di bawah Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana enakmen tersebut pada dasarnya adalah serupa dengan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kedua-dua undang-undang itu dianggap sebagai undang-undang menghujat agama dan melarang sebarang kritikan terhadap agama.

Tambah kumpulan NGO Hak Asasi itu dalam menguatkan dakwaan, walaupun Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) hanya meliputi agama Islam, tetapi ia tetap meliputi agama mengikut Seksyen 298A.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan di bawah Kanun Keseksaan diambil oleh Kerajaan Persekutuan yang sama kerana kedua-dua JAWI dan Jabatan Peguam Negara adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.”

Justeru, meneruskan pendakwaan ke atas wanita yang mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran tetapi didakwa menghina agama itu akan menimbulkan persoalan penyelarasan antara dua jabatan kendalian Kerajaan Persekutuan tersebut.

“Kami seterusnya mengulangi bahawa ini adalah pembaziran wang pembayar cukai, kerana kedua-dua agensi tersebut dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk mengutip cukai daripada semua pembayar cukai di seluruh negara dan disalurkan kepada kedua-dua agensi ini.”

Selain itu, kumpulan NGO Hak Asasi tersebut turut mendakwa bahawa cara penahanan yang ditunjukkan oleh JAWI itu adalah keterlaluan, menghantar lapan orang pegawai penguat kuasa untuk menahan seseorang yang tidak bersifat ganas di bawah dakwaan jenayah yang tidak bersifat ganas.

“Sedangkan, beberapa ahli politik yang jenayahnya menjejaskan negara secara keseluruhan tidak mendapat perhatian sedemikian dan tidak pula ditangkap oleh sehingga lapan orang pegawai.”

Melihatkan kejadian tersebut, kumpulan NGO Hak Asasi menyarankan JAWI supaya menyalurkan tenaga kerja berlebihan itu kepada perkara lain yang memerlukan perhatian serta lebih mendesak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: