NGO Cabar Status Sekolah Cina Dan India Guna Cukai Rakyat Di Mahkamah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 31 Januari 2022 – Gabungan tiga NGO akan mencabar kesahihan status institusi sekolah vernakular iaitu sama ada ditubuhkan sebagai badan awam yang memperoleh dana daripada sumber awam mengikut Akta Pendidikan ataupun tidak.
Tiga NGO tersebut adalah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia.
Rayuan yang dikemukan pihak NGO tersebut di Mahkamah Rayuan nanti akan mencabar dapatan di Mahkamah Tinggi.
Malah, diharapkan akan dapat menentukan persoalan undang-undang sama ada SJK Cina dan SJK Tamil yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan serta mendapat dana serta sumber-sumber awam, adalah sebenarnya badan awam ataupun tidak.
Pihak NGO tersebut menegaskan bahawa mereka tetap menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun dan Korea.
“Tetapi, menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.”
Natijahnya, rayuan dikemukakan juga diharap dapat memperjelas kedudukan isu perlembagaan, bukannya dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) selaku gabungan NGO Melayu-Islam utama di Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai pemfailan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi kes Keabsahan Sekolah Vernakular bertarikh 27 Januari 2022.
Menurut kenyataan, rayuan tersebut antaranya, bakal mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendapat bahawa SJKC dan SJKT bukan ‘pihak berkuasa awam’ yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
“Pihak Sekretariat bersetuju dan plaintif-plaintif telah melantik Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil dan Tetuan Hariz Syakinah & Co, serta pasukan ini akan diketuai oleh peguam kanan Tuan Haji Haniff Khatri untuk kes ini.”