Antarabangsa

NEOM Megacity Arab Saudi Bakal Anjurkan Sukan Musim Sejuk Asia 2029

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PHNOM PENH, 05 Oktober 2022 – Arab Saudi bakal menganjurkan Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di Trojena iaitu sebuah kompleks sukan musim sejuk yang merupakan sebahagian daripada projek mega pembangunan bandar padang pasir, NEOM.

Selepas bidaan Saudi diluluskan dan dipilih menjadi tuan rumah, Majlis Olimpik Asia berkata, “Padang dan pergunungan Arab Saudi tidak lama lagi akan menjadi taman permainan untuk sukan musim sejuk.”

Lapor agensi berita Arab, Trojena merupakan satu daripada 10 wilayah NEOM yang dijangka siap pada 2026 dan terletak kira-kira 50km dari pantai Teluk Aqaba. Seperti kebanyakan kawasan lain di tanah Arab, ia menerima hujan yang sangat sedikit.

Selain itu, ia mencatatkan suhu bawah sifar pada musim sejuk manakala suhunya sepanjang tahun adalah 10 darjah lebih sejuk berbanding kawasan lain di rantau tersebut.

Kompleks sukan di Trojena juga akan menyediakan ski sepanjang tahun, rumah agam, hotel ultra-mewah, chalet dan tasik buatan manusia sedalam lima meter yang dipenuhi dengan air laut ternyah garam.

“Trojena akan memberi makna baru kepada pelancongan pergunungan di dunia dengan mewujudkan lokasi berdasarkan prinsip ekopelancongan, menekankan usaha kami untuk memelihara alam semula jadi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” ujar Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman (MBS).

Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal turut mengatakan bahawa kejayaan bidaan Saudi untuk menjadi tuan rumah temasya itu adalah kemenangan besar bagi negara tersebut dan rakyat negara-negara Teluk.

Tambahnya, “Sektor sukan Saudi menyumbang dengan ketara kepada objektif Wawasan Saudi 2030.”

Bidaan tersebut juga dipercayai telah membuktikan potensi besar dan infrastruktur luar biasa Saudi untuk menganjurkan acara sukan di peringkat antarabangsa dengan jayanya.

Ketua Eksekutif NEOM, Nadhmi Al-Nasr memberi jaminan bahawa Trojena akan menyediakan infrastruktur yang sesuai dengan mewujudkan suasana musim sejuk di tengah padang pasir, untuk menjadikan Sukan Musim Sejuk di Trojena sebuah acara global yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: