Tempatan

Kes Luar Tabii Iki Putra : Bola Di Kaki Penasihat Undang-Undang Selangor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria berkata, penasihat undang-undang Selangor adalah individu yang sesuai untuk menasihati berkenaan kes seks luar tabii baru-baru ini.

Ini kerana lelaki Muslim yang dibebaskan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan enakmen syariah Selangor berhubung seks luar tabii bercanggah dengan Perlembagaan, masih boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan.

Tegas Najib, polis boleh menyiasat sesiapa sahaja kerana Kanun Keseksaan tidak mengamalkan diskriminasi antara penganut Islam dan bukan Islam.

“Polis boleh meneruskan siasatan yang dimulakan penyiasat dan pendakwa syariah Selangor. Tiada had waktu untuk membuat laporan, seterusnya menyiasat kes itu.”

Kenyataan ini juga dipersetujui oleh bekas timbalan pendakwa raya, Shamsul Sulaiman.

Menurutnya, mahkamah tertinggi hanya memutuskan peruntukan enakmen Selangor itu tidak sah, tetapi tidak membatalkan siasatan.

Oleh itu, polis boleh memperoleh keterangan lain yang dimiliki pihak berkuasa agama negeri untuk membina kes kukuh.

Malah, terdapat kemungkinan pendakwaan dijalankan sekiranya keterangan mencukupi.

“Polis boleh merekodkan kenyataan saksi seperti diperuntukkan Kanun Prosedur Jenayah sebagai proses pengumpulan keterangan mereka.”

“Akhir sekali, terpulang kepada Peguam Negara dan pegawai-pegawainya untuk memutuskan pendakwaan berdasarkan keterangan yang dihimpunkan polis.”

Pada 21 Ogos 2019, Ketua Pendakwa Syarie mengemukakan tuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 terhadap seorang lelaki di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas dakwaan cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Lelaki itu meminta dibicarakan dan prosiding ditangguhkan sementara menunggu keputusan bantahan perlembagaannya di Mahkamah Persekutuan.

Keputusan Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan minggu lalu kemudiannya mengisytiharkan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan perlembagaan kerana badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang itu, memandangkan ia sudah berada dalam Senarai Persekutuan.

Kesalahan liwat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya didapati bersalah.

Manakala lelaki berusia di bawah 50 tahun pula boleh disebat sehingga 24 kali.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: