Tempatan

Nelayan Asing Rompak Hasil Laut, Negara Rugi RM4.25 Bilion

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 01 Oktober 2022 – “Pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam di Pantai Timur berterusan sejak sekian lama menyebabkan negara ini mengalami kerugian RM4.25 bilion setiap tahun kerana hasil laut dirompak oleh nelayan bot pukat tunda dari negara itu.”

“Di Sabah, penggunaan bahan letupan atau bom dalam kalangan nelayan dan penangkap ikan di sini juga telah menyumbang kepada peningkatan kemusnahan benih ikan dan kerosakan batu karang di perairan negeri berkenaan.”

Menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengambil tindakan lanjut, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader mengeluarkan maklumat tersebut agar MAFI dapat memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah aktiviti tangkapan secara haram yang mengancam pembiakan ikan di perairan negara ini.

Menurut CAP, masalah yang sudah lama berlaku ini bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan pantai tetapi juga boleh menyebabkan sumber perikanan mengalami kepupusan pada masa akan datang.

Dalam tinjauan yang dijalankan, CAP mendapati selain dari pukat tunda yang menjadi ancaman kepada pembiakan ikan di perairan negara sejak lebih 40 tahun lalu, penggunaan pukat rawa sorong, pukat apollo, pukat siput dan bubu naga juga semakin berleluasa ketika ini.

“Walaupun masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasinya. Bot pukat tunda terus menceroboh zon tangkapan nelayan pantai dan semakin banyak alat tangkapan yang diharamkan digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.”

“Setiap hari beribu tan benih hidupan laut berbagai spesies musnah akibat penggunaan peralatan tersebut. Sebuah bot pukat tunda misalnya memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan (benih) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan.”

“Di samping hasil tangkapan dan sumber pendapatan nelayan terutama mereka yang mencari sumber rezeki di persisir pantai merosot melebihi 50 peratus setiap kali turun ke laut, para pengguna turut terbeban dengan peningkatan harga ikan yang melambung di pasaran,” ujarnya dalam kenyataan sama yang dibuat melalui satu hantaran di Facebook.

Bukan sahaja MAFI malah, CAP turut menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang semakin meruncing berlaku dalam sektor perikanan ketika ini.

CAP yang percaya dan bimbang jika masalah ini terus berlaku, sumber laut negara ini hanya mampu bertahan kurang 30 tahun saja lagi.

“Di samping menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan, gesaan CAP serta nelayan pantai sebelum ini supaya penggunaan pukat tunda diharamkan perlu diberi perhatian serius dan disegerakan.”

“Beberapa buah negara seperti Hong Kong, Indonesia, Palau, Belize dan Jepun telah mengharamkan penggunaan pukat tunda di negara mereka.”

CAP yang menyokong keputusan negara-negara tersebut dan tindakan tegas kerajaan Indonesia dengan membakar serta memusnahkan bot pukat tunda yang menceroboh perairan negara itu berkata; “Langkah sedemikian wajar diikuti oleh Kerajaan Malaysia bagi mengawal dan menjamin sumber bekalan makanan yang mencukupi pada masa akan datang.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker