NGO

Negeri Tak Boleh Halang Murtad. Apa Fungsi Pesuruhjaya Islam SUHAKAM? – PEMBELA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2021 – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) merujuk kepada Laporan Separuh Penggal SUHAKAM (Oktober 2021) yang diterbitkan melalui laman rasmi bagi Universal Periodic Review (UPR) yang merupakan antara program Pertubuhan-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations / UN).

Dalam laporan ini (2.3, muka surat 7-9), SUHAKAM menyatakan bahawa undang-undang Syariah yang menghalang umat Islam daripada murtad adalah satu bentuk diskriminasi dan mencabul hak kebebasan beragama.

Ini adalah suatu kenyataan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana terdapat unsur-unsur menggugat Sistem Perundangan Syariah yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri, tegas Pengerusi PEMBELA Hj. Aminuddin Yahaya.

“Ini bermakna SUHAKAM mendakwa, tiada negeri boleh halang langsung mana-mana Muslim sekiranya mereka keluar agama Islam.”

“PEMBELA sangat kesal dengan SUHAKAM yang sepatutnya membawa isu-isu pencabulan hak asasi yang lebih tepat dan ‘real‘ seperti peristiwa-peristiwa Islamofobia yang berlaku sepanjang tahun ini seperti penderaan oleh majikan kerana berpuasa, penganaktirian sekolah-sekolah tahfiz oleh kerajaan berbanding sekolah vernakular, dan sebagainya yang jelas menunjukkan ‘double standard‘ SUHAKAM.”

Lebih malang sekali SUHAKAM tidak menggunakan kapasitinya sebagai agensi rasmi kerajaan ke pentas antarabangsa ini untuk memperjuangkan kes Allahyarham Adib yang merupakan isu hak asasi penjawat awam untuk berkhidmat dengan selamat dan terjamin kebajikannya tetapi lebih sibuk memperjuangkan kesongsangan seks, tambah Hj Aminuddin Yahaya lagi.

Selain itu, buat kali pertama SUHAKAM secara rasminya menggunakan istilah yang merujuk kepada gender ketiga iaitu ‘non-binary‘ yang bakal membuka pintu-pintu kemungkaran yang lebih besar.

Justeru, rentetan kenyataan SUHAKAM tersebut, atas semangat amar makruf nahi mungkar terutamanya sesama Muslim, PEMBELA ingin mempersoalkan fungsi Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Muslim dalam SUHAKAM yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat kerajaan yang sepatutnya bertindak sebagai ‘safeguard‘ kepada Islam.

Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM Muslim yang ada dalam SUHAKAM adalah seperti:

i. Tan Sri Othman Bin Hashim (Pengerusi SUHAKAM)

ii. Ustazah Prof Madya Dr. Nik Salida Suhaila Binti Nik Salleh (Naib Pengerusi SUHAKAM / Dekan Fakulti Undang-Undang & Syariah USIM)

iii. Dato’ Prof. Noor Aziah Binti Mohd Awal (Pesuruhjaya SUHAKAM / Anggota Majlis Agama Islam Negeri Sembilan / Tokoh Maal Hijrah 2016, 2017)

iv. Dato Seri Mohd Hishamudin Bin Md Yunus (Pesuruhjaya SUHAKAM / Mantan Hakim Mahkamah Rayuan)

Akhir sekali, “PEMBELA juga menggesa sekali lagi agar kerajaan melalui Menteri Undang-Undang dan Menteri Luar Negara untuk memandang serius akan laporan yang telah menconteng arang dan memfitnah negara di pentas antarabangsa ini.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button