Tempatan

Negeri Sembilan Dilanggar Demam Babi Afrika

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NEGERI SEMBILAN, 13 April 2022 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengesahkan penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika telah dikesan di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson Jumaat lalu yang mengkibatkan dua kes positif.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Bakri Sawir mengatakan bahawa penyakit itu dikesan hasil daripada pengesanan sampel ke atas dua ekor daripada 275 ekor babi di ladang tidak berlesen itu.

“Pihak kami menerima maklumat mengenai penyakit itu pada Khamis lepas, sebelum JPVNS bertindak mengambil sampel pada dua haiwan tersebut dan keputusan yang diterima pada petang semalam mendapati ia positif ASF,” ujarnya.

Beliau mengatakan bahawa pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada penternak ladang itu berhubung bagaimana haiwan itu dijangkiti dan kemungkinan jangkitan itu berpunca daripada kemasukan haiwan berkenaan dari Perak.

Namun, maklumat susulan kehadiran jangkitan itu masih belum disahkan dan siasatan masih dijalankan.

Bakri mengatakan bahawa JPVNS mengambil langkah awal dan proaktif dengan menyita kawasan tersebut, selain anggota polis dan petugas jabatan itu turut meningkatkan pemantauan di sekitar lima kilometer dari lokasi berkenaan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk ternakan.

Menurutnya, kesemua ternakan tersebut akan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Malah penternak yang terlibat juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana notis telah pun diberikan kepada 20 ladang ternakan haiwan tersebut agar operasi ladang itu diberhentikan susulan ia tidak berlesen.

Pengarah JPVNS, Dr Redzuan Ibrahim menyatakan bahawa penyakit ASF ini tidak menjangkiti manusia dan jangkitannya hanya terhad dalam kalangan spesies haiwan itu sahaja.

“ASF berbeza dengan virus Nipah, namun kadar merebaknya sangat cepat dan memudaratkan kepada ternakan babi yang lain. Jangkitan ini boleh dibawa daripada lalat atau anggota badan babi yang dijangkiti ASF.”

“Apabila ternakan yang sakit ini disembelih, daging dan darahnya boleh merebak ke ladang-ladang yang lain. Selain itu juga ia boleh menyebabkan kematian yang tinggi dalam kalangan haiwan itu sekitar 70 hingga 80 peratus,” katanya.

Datuk Bakri menyeru penternak di kawasan itu agar mengambil pengajaran daripada kes virus Nipah yang pernah menjangkiti ternakan babi pada 1999 sehingga mengakibatkan 100 kematian.

Beliau juga menasihati pembeli agar berwaspada sekiranya mendapat tawaran harga daging babi yang rendah di pasaran.

Leave a Reply

Back to top button