NGO

PPIM Bidas NGO Gesa Menteri Letak Jawatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Negara Malaysia negara berperlembagaan dan berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak perlu tunduk kepada desakan oleh kumpulan mementingkan agenda songsang yang mengenepikan undang-undang negara.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan negara.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan@toqqi membidas kenyataan beberapa pihak yang mendesak Saifuddin meletakkan jawatan kerana berpegang kepada prinsip undang-undang negara termasuk Akta SOSMA.

“Kita adalah rakyat Malaysia dan wajib patuh kepada undang-undang negara dan mempertahankan kedaulatan negara, jika kita tidak menegakkan undang-undang negara apa lagi yang kita ada,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata adalah menjadi prinsip PPIM menyokong sesiapa sahaja atau mana-mana pihak yang tegar mempertahankan undang-undang negara.

“Tidak ada salahnya beliau menyatakan Akta SOSMA masih diperlukan dalam negara, hanya pengkhianat dan mereka yang menderhaka kepada Sultan dan pemerintah negara ini sahaja yang menentang undang-undang sedia ada,” katanya.

Tambah Nadzim, jika mana-mana pihak mahukan perubahan dalam undang-undang negara, mereka harus melalui proses yang betul.

“Bukan cara kita paksa atau desak menteri letak jawatan, jika nak perubahan, gunakan saluran yang betul, apa guna desak menteri letak jawatan kerana beliau menjalankan tugas,” katanya.

Nadzim berkata terdapat banyak kaedah lain dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah.

“Antaranya Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 atau bon kelakuan baik dan sebagainya. Bukan semua perlu dipenjara tetapi apa pun, gunakan saluran yang betul untuk lakukan perubahan, bukan mendesak sebegini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Saifuddin menegaskan undang-undang itu diperlukan negara.

Kumpulan hak asasi Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) dilaporkan menggesa Saifuddin digugurkan daripada portfolio Keselamatan Dalam Negeri, kerana mendakwa jawatan itu perlu digalas seseorang yang menghormati hak asasi manusia dan mahu menegakkan keadilan.

“Mendukung Perlembagaan negara dan mengangkat undang-undang sedia ada adalah satu perkara yang terpuji. Kami sokong tindakan Saifuddin,” kata Toqqi.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: