Tempatan

Negeri Selangor Ambil Berat Jenayah Hina Islam – Sultan Selangor

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 5 April 2021 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, Negeri Selangor Darul Ehsan amat mengambil berat berkenaan jenayah menghina dan mempermain-mainkan agama Islam.

Menzahirkan dukacita dengan keadaan semasa yang dilihat sedang menghina Islam contohnya seperti dalam kes Kalimah Allah, baginda mahu umat Islam sedar dan berwaspada kerana musuh-musuh Islam sering menjadikan Agama yang suci ini sebagai sasaran dalam pelbagai bentuk.

“Sindiran dan persepsi yang jauh terpesong daripada kebenaran adalah antara bentuk-bentuk penghinaan yang sering berlaku,” titah baginda.

“Fenomena ini disokong oleh perbuatan biadap umat Islam itu sendiri yang bersikap acuh tidak acuh terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri dalam kejahilan dan ketirisan akhlak.”

Menyentuh mengenai isu Kalimah Allah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, ada manusia yang suka mempermainkan kalimah Allah malah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bercanggah dengan akhlak dan aqidah Islam.

“Tidak sedarkah mereka dengan kebiadapan sebegini mengundang kemurkaan Allah?”

“Alpakah mereka bahawa tindakan itu amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW?”

Bukan itu sahaja, titah baginda lagi, wujud golongan yang sanggup melakukan senda gurau terhadap hukum-hukum Islam, mengolok-olokkan syariat dan peraturan, mempermain-mainkan hukum untuk menghina syariat beragama.

Oleh itu, seiring dengan saranan khutbah Jumaat minggu lalu bertajuk “Jangan Hina Islam”, baginda mahu para pemimpin sentiasa berperanan dan bersikap tegas berlandaskan nas Syariat serta peruntukan perundangan negara dalam mempertahankan kemuliaan Islam.

Bahkan, sekalian rakyat Negeri Selangor juga perlu memahami dan menghayati initipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor minggu lalu.

“Ingatlah semua! Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di negeri Selangor Darul Ehsan dan semua negeri lain di Malaysia.”

“Peruntukan-peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button