Negara Tidak Pergi Jauh Jika Kekal Satu Bahasa – Datin Noor Azimah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 30 Mei 2022 – “Sesebuah negara tidak akan pergi jauh jika ia mahu kekal dalam satu bahasa dan eksklusif,” kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia, Datin Noor Azimah Abdul Rahim.
Katanya, negara lain seperti Indonesia dan China juga sedang giat mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris dan tidak mungkin Bahasa Malaysia akan menjadi Bahasa Asean dalam masa yang sangat lama, terutamanya dengan Indonesia yang bersaing untuk mendapat tempat teratas.
“Walaupun kemahiran Bahasa Malaysia telah meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, kita telah gagal untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa serantau dalam tempoh 60 tahun yang lalu,” tambahnya lagi.
Baru-baru ini, Ahli Ekonomi dan Pengarang, Tan Sri Ramon Navaratnam meminta pihak Kerajaan agar lebih jelas akan matlamatnya dalam penggunaan Bahasa Malaysia sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Beliau berkata sedemikian bagi menjawab gesaan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak yang tidak mengikut arahan untuk memerkasa penggunaan Bahasa Malaysia dalam perkhidmatan itu.
“Jika langkah itu adalah untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Malaysia (BM) tidak mengapa, tetapi jika ia mengorbankan Bahasa Inggeris, kita akan rugi,” ujarnya.
Beliau mengatakan bahawa Singapura yang menggunakan Bahasa Inggeris, mempunyai permulaan yang baik berbanding negara Asean yang lain.
“Kita akan dianggap sebagai tidak berdaya saing dan tidak sesuai untuk menarik pelabur asing jika kita terus berfikiran sempit untuk tidak menggalakkkan penggunaan Bahasa Inggeris,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, kata beliau, jika dasar untuk tidak menggalakkan Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dilanjutkan, mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah akan terpinggir.
Ia sekaligus akan mewujudkan jurang pendapatan yang akan mengakibatkan kekurangan peluang buat mereka yang tidak mahir Bahasa Inggeris.
Pakar Pendidikan, Profesor Tan Sri Dr T. Marimuthu turut mengatakan bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa terbaik untuk digunakan di peringkat antarabangsa.
“Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan kita, dan ia digunakan secara meluas. Ia mesti dijaga, tidak ada keraguan tentangnya.”
“Tetapi Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa. Semua orang menggunakannya dan duta kita juga menggunakan Bahasa Inggeris, jadi saya fikir lebih baik untuk terus gunakan Bahasa Inggeris kerana ia membolehkan komunikasi yang lebih berkesan,” katanya.