NGO

NEGARA SEDANG BINGUNG

1. Kita sedang dihambat oleh suatu keadaan kelam-kabut politik yang membingungkan. Di sebalik perpecahan orang Melayu yang cukup lama berlarutan, perpecahan dalam parti politik Melayu menambahkan parah keadaan ini.

2. Negara sedang bungkam. Baik negarawan ulung, bekas pemimpin senior, tokoh korporat, pakar-pakar bidang, ahli akademik bertaraf professor mahupun ahli agama sedang ketandusan kata-kata bagi menjelaskan kebingungan ini.

3. Ada yang mencadangkan sistem dua parti seperti di Amerika, ada yang menyeru supaya semua parti Melayu ini dibubarkan dan ditubuhkan satu parti Melayu yang menggabungkan semua parti sedia ada, ada juga yang mahukan Malaysia ditadbir semula oleh Raja-Raja Melayu apabila melihat demokrasi sebagai sistem ciptaan British yang memakan diri.

4. Darurat yang diisytiharkan dilihat ramai hanya memanjangkan hayat perikatan politik sedia ada apabila Parlimen digantung tidak bersidang dan pilihan raya juga tidak dapat diadakan. Tempoh darurat yang sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki keadaan yang sedia tenat ini nampaknya tidak digunakan dengan sebaiknya.

5. Sementara rakyat sedang bergelut dengan kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pemimpin parti politik sedang sibuk bercakaran sesama sendiri akibat tamakkan kerusi pilihan raya. Parti A kata Parti B sedang membuli mereka. Parti A mahukan kerusi Ketua Menteri tapi Parti B tak bagi. Parti A mahukan kerjasama diteruskan dengan Parti C tapi bukan dengan parti B, namun Parti C mahukan kerjasama dengan Parti B diteruskan.

6. Begitulah sehari-hari parti-parti politik ini membicarakan soal kerusi pilihan raya dan kuasa sementelah rakyat sedang keletihan dengan segala macam polisi era Covid-19 ini. Dengan keadaan ekonomi yang menguncup, sana sini kedengaran perniagaan tutup, sang ibu sedang lelah dengan pembelajaran atas talian dan kerja sekolah anak-anak, ayah sedang keletihan mencari rezeki, dengan sekatan jalan raya di sana sini, rakyat tidak lagi bebas bergerak, melancong bahkan menziarahi ibu bapa mereka di kampung. Nak menyambut hari raya pun disekat dengan macam-macam SOP, malahan beribadah di masjid pun telah menjadi suatu peluang yang mahal dan eksklusif. Masjid yang dibiarkan kosong sebelum Covid-19 akhirnya dikunci terus di era pandemik ini.

7. Sesak dada kita di era Covid-19 ditambah dengan terbongkarnya pelbagai berita penyelewengan dan salah guna kuasa, rasuah, Macau scam, kartel daging haram yang memenuhkan perut kita dengan daging haram selama 40 tahun sehinggalah kartel madu palsu dari China serta penjajahan ekonomi hitam di negara kita seperti yang dikatakan oleh Tun Hanif Omar.

8. Sesak dada ditambah pula dengan sakit mata apabila melihat menteri yang sepatutnya menyenangkan rakyat dengan polisi dan dasar yang bijaksana akhirnya dilihat hanya mampu memaparkan badan yang semakin ramping, kulit yang semakin mulus dan sedang berusaha menjadi seorang model baju kurung sambilan pula.

9. Sementara ahli-ahli politik sedang sibuk membahagi-bahagikan kerusi dan mempersiapkan diri mereka dengan pilihan raya, seorang pendakwah dan ‘kabinetnya’ pula sedang pecah kepala bagaimana hendak memastikan anak-anak kecil mempunyai akses internet dan tablet untuk kemudahan pembelajaran atas talian mereka. Dasar-dasar kebajikan merentas ras agama dan bangsa yang dibuat secara one-man show oleh pendakwah ini turut ‘membingungkan’ kita. Adakah tuhan sedang menyindir ahli-ahli politik kita?

10. Teringat saya akan kisah Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab mempersoalkan anaknya akan kenapa unta-unta anaknya lebih gemuk manakala unta milik rakyat biasa kurus-kurus. Saidina Umar mengesyaki penjaga-penjaga ladang rumput itu telah melebihkan rumput kepada unta anaknya kerana dia adalah anak kepada seorang khalifah lalu memerintahkan unta-unta anaknya itu dijual dan keuntungannya dipulangkan kepada baitulmal. Juga pernah dikisahkan akan Saidina Umar Abd Aziz yang memadamkan lampu di ruangan kerjanya ketika saudaranya ingin berbicara soal keluarga kerana Khalifah Umar Abd Aziz itu berpendapat minyak kepada lampu itu hanya boleh digunakan untuk urusan rakyat dan negara. Begitulah keadilan khalifah-khalifah tersohor ini telah mendatangkan keberkatan dan rahmat tidak terbanding kepada rakyatnya.

11. Maka di negara kita pula, telah wujud suatu petanda bahawa Allah sebenarnya sedang murka. Siapakah yang mampu menyelamatkan kita? Semoga didatangkan pemimpin yang benar-benar adil untuk membawa kita keluar daripada kekusutan ini.

Nadia Aziz
Pengasas
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button