Negara Sasar Robot Ganti Pekerja Tahun 2030
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 20 Februari 2022 – Kerajaan menyasarkan 195 unit robot bagi setiap 10,000 pekerja di Malaysia pada tahun 2030 dengan membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) yang berfungsi ke arah mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik di negara ni.
“Pelan ini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada 17 Februari yang lepas.
“Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030.”
Mesyuarat yang diadakan buat kali pertama tahun ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri secara dalam talian disertai oleh menteri-menteri serta ketua jabatan dan agensi yang terlibat.
Mesyuarat berkenaan turut menyokong konsep Projek Pemangkin bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL dan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau perlaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Pada 2019, rakan kongsi pengurusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris berkata, satu daripada lima pekerjaan akan digantikan oleh automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun apabila organisasi di seluruh dunia memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi itu untuk meningkatkan kecekapan dalam perniagaan mereka.