Negara OIC Harus Tangani Cabaran Dihadapi Belia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RIYADH, 10 September 2022 – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa negara-negara anggota menangani cabaran yang dihadapi golongan belia termasuk kadar pengangguran yang tinggi dan penyebaran ekstremisme.
Dalam Persidangan Menteri-Menteri Belia dan Sukan Islam Sesi Kelima (ICYSM) di Jeddah, Hissein Brahim Taha, mengatakan, kajian global menunjukkan bahawa negara-negara OIC adalah rumah kepada kira-kira satu perempat daripada belia seluruh dunia.
Selain itu, kajian tersebut juga menjangkakan bahawa negara anggota akan mempunyai lebih daripada satu pertiga daripada belia dunia menjelang 2050.
Ujar beliau, “Fakta dan statistik ini membuka peluang kepada dunia Islam jika potensi belia dimanfaatkan sewajarnya, dan apabila belia terlibat dalam menetapkan dan melaksanakan dasar dan program pembangunan belia dan sukan.”
Beliau turut menggesa pelancaran program pembangunan belia di semua negeri OIC sekali gus mengatakan bahawa negara anggota dan institusi berkaitan harus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan program-program tersebut.
Sementara itu, Wawasan 2030 Arab Saudi dipuji ketika pengisytiharan ICYSM kerana penekanan terhadap pembangunan belia dan sukan serta usaha kerajaan Saudi untuk meningkatkan kesedaran golongan itu di samping mempromosikan peranan mereka dalam pembangunan.
Persidangan itu juga mengalu-alukan penubuhan Pusat Belia Arab di Abu Dhabi yang dipimpin belia Arab dan menawarkan ruang lebih luas membolehkan mereka menyumbang kepada usaha pembangunan.