Negara Dijangka Terima Hujan Berterusan Sehingga Minggu Depan – MetMalaysia
KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2024 – Negara dijangka menerima hujan berterusan sehingga minggu depan, ujar Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, negara kini berada dalam fasa monsun tidak aktif (monsoon break) dan sepanjang tempoh ini angin barat bertiup lemah menyebabkan pembentukan awan hujan lebih aktif.
Ujar beliau, “Lazimnya kebanyakan kawasan akan mengalami kurang hujan, namun, ada beberapa keadaan angin barat bertiup lemah dan menyebabkan pembentukan awan hujan lebih aktif.”
“Keadaan akan kembali kurang hujan dan panas apabila monsun ini berada dalam fasa aktif disertai kehadiran ribut siklon tropika di Laut China Selatan dan Lautan Pasifik Barat.”
Beliau turut mengulas, hampir kebanyakan tempat seluruh negara akan mengalami hujan terutamanya pada waktu petang dan awal malam.
Beberapa daerah di kawasan utara, pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pula diramal berdepan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.