Negara Arab Mengutuk Pencerobohan Menteri Kanan Netanyahu ke Masjidil Aqsa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BAITULMUQADDIS, 04 Januari 2023 – Negara-negara Arab mengutuk keras pencerobohan Menteri Keselamatan rejim haram aparteid Israel, Itamar Ben-Gvir di kawasan Masjidil Aqsa semalam.
Media melaporkan, ‘lawatan’ Ben-Gvir ke tapak suci itu telah dikawal ketat oleh pasukan keselamatan sekali gus mencetuskan gelombang kecaman oleh negara dan pertubuhan Arab susulan tindakannya yang dilihat melanggar terang-terangan kesucian Masjidil Aqsa.
BACA JUGA: Menteri Kanan Netanyahu Ceroboh Masjid Al-Aqsa
BACA JUGA: Orang Yahudi Ada Hak Eksklusif Atas Tanah Israel – Benjamin Netanyahu
BACA JUGA: Putera Faisal Lancar Ensiklopedia Pertama Seni Bina Masjid Nabawi
Dalam sebuah kenyataan, Kementerian Luar Kerajaan Arab Saudi mengecam ‘tindakan provokatif’ pegawai itu dan kesal terhadap amalan pihak berkuasa pendudukan rejim haram yang bercanggah dengan norma dan prinsip global untuk menghormati kesucian agama serta menjejaskan usaha perdamaian antarabangsa.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan tersebut dan berpegang bahawa kuasa pertahanan rejim Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pencerobohan berterusan yang dilakukan di Masjidil Aqsa.
Mereka juga menyeru masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab untuk menghentikan pencabulan Israel yang boleh menimbulkan konflik agama, ekstremisme dan ketidakstabilan di rantau itu.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Qatar menegaskan bahawa tindakan pelampau tersebut yang menjejaskan situasi keagamaan dan bersejarah Masjidil Aqsa bukan sahaja melanggar hak rakyat Palestin, malah jutaan umat Islam seluruh dunia.
Turut mengecam pencerobohan menteri ini adalah Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, pertubuhan Liga Arab, pasukan perjuangan negara Palestin dan juga negara Barat Amerika Syarikat.
“Amerika Syarikat berpegang teguh untuk memelihara status quo tapak suci di Baitulmuqaddis. Sebarang tindakan unilateral yang menjejaskan status quo tidak boleh diterima,” tegas jurucakap Majlis Keselamatan White House mengenai isu ini.