Pendapat

NASIHAT AG PERLU TELUS DAN MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Susulan Kenyataan Media Istana Negara pada 29 Jun 2021, AG perlu nasihatkan Jemaah Menteri kedudukan Perkara 150(3), iaitu keperluan suatu ordinan setelah dimasyhurkan oleh SPB Agong di bawah Perkara 150(2B) dibentangkan di Parlimen.

Darurat kali ini diisytiharkan secara bertempoh sehingga 1 Ogos 2021, tidak seperti darurat-darurat sebelum ini.

Kuasa SPB Agong untuk membuat proklamasi darurat dan menggubal ordinan tanpa membentangkan terlebih dahulu di Parlimen menurut Fasal (2B) adalah berperlembagaan dan sah. Namun begitu, boleh timbul persoalan sekiranya ordinan sedemikian masih perlu memenuhi syarat di bawah Fasal (3) di bawah Perkara yang sama.

AG perlu mengkaji dan menyampaikan nasihat sama ada Fasal (3) ialah syarat buat tatacara ordinan di bawah Fasal (2B) kepada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana pula fungsi Parlimen di bawah Perkara 150(6) untuk menimbangkan tadbir urus suatu undang-undang itu sememangnya diperlukan bagi maksud darurat?

Perkara 150(6) berbunyi, “Tertakluk pada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Perkara inj, dan tiada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh Parlimen undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat, boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini”.

Adakah ordinan yang diperbuat di bawah Fasal (2B) tanpa pembentangan di Parlimen dalam tempoh darurat sehingga tamat pada 1 Ogos 2021 akan dilindungi oleh Fasal (8)?

Perkara 150(8) melindungi suatu proklamasi dan ordinan darurat yang dibuat atas kepuasan hati SPB Agong daripada dicabar di Mahkamah. Walau bagaimanapun, Fasal (3) mensyaratkan kedua-duanya dibentangkan di Parlimen, begitu juga Fasal (6).

Dalam hal ini SPB Agong menitahkan Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos 2021 untuk melaksanakan fungsinya di bawah Perkara 150(3). Adakah titah SPB Agong itu boleh diremehkan atas alasan Baginda perlu bertindak mengikut nasihat walhal tindakan itu bertujuan untuk menegakkan kewajipan di bawah Sumpah Jadual IV, iaitu prinsip kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan?

Bukankah PM dan Jemaah juga tertakluk pada Sumpah Jadual VI di samping mereka merupakan pelaksana sebahagian besar fungsi kuasa eksekutif SPB Agong? Dalam kata lain, punca fungsi kuasa mereka daripada SPB Agong di bawah Perkara 39 menuntut rasa hormat mereka kepada pandangan, nasihat dan titah Baginda.

Selanjutnya adakah AG sudah meneliti semua implikasi undang-undang jika titah SPB Agong dan MRR untuk dipanggil sidang Parlimen bagi maksud yang dinyatakan dalam Kenyataan Media Istana Negara pada 29 Jun 2021, sebelum 1 Ogos 2021 tidak dipatuhi oleh PM dan Jemaah Menteri?

Semua persoalan di atas perlu diteliti oleh AG kerana jika Mahkamah akhirnya memutuskan ordinan darurat itu “defective” kerana tidak dibentang di Parlimen dalam tempohnya, kebarangkalian Kerajaan menghadapi pelbagai tindakan undang-undang boleh berbangkit dalam banyak isu selepas ini. Isu punca kuasa pelbagai pelan pemulihan, tatacara kewangan dan keputusan-keputusan eksekutif tidak boleh dipandang ringan walaupun dibuat dalam tempoh darurat.

Adakah AG bersedia untuk mengambil tanggungjawab jika kebarangkalian di atas berlaku?

Semoga AG tidak hanya memberi pandangan SPB Agong perlu bertindak mengikut nasihat PM sahaja. Bagaimana pula dengan prinsip pemisahan kuasa yang meletakkan kuasa perundangan Persekutuan kepada SPB Agong dan dua buah Majlis Parlimen seperti termaktub di dalam Perkara 44. Begitu juga kebertanggungjawaban Jemaah Menteri kepada Parlimen menurut Perkara 43(3).

Kesimpulannya, AG perlu melihat dengan lebih jauh untuk memelihara prinsip keluhuran Perlembagaan yang menjamin fungsi kuasa pada setiap tiga cabang kuasa di bawah pemerintahan Raja Berperlembagaan yang masih kekal berdaulat.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP (ITKAS)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button