Tempatan

Nama Pun Main Peranan, Panggilan Penoreh Getah Perlu Ditukar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 10 Julai 2024 – Nama pun mainkan peranan, panggilan penoreh getah yang digunakan selama ini perlu ditukar kepada operator pengeluaran getah bagi menarik minat golongan muda menceburi komoditi itu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, penggunaan nama penoreh getah dilihat menjauhkan golongan itu daripada pekerjaan berkenaan walaupun mereka sepatutnya boleh mewarisi kebun getah yang ditinggalkan ibu bapa atau nenek moyang masing-masing.

“Saya bukan mahu menghina panggilan penoreh itu kerana saya sendiri terlibat dalam komoditi ini dan mempunyai ladang getah, tetapi saya merasakan kita perlu melakukan pembaharuan dengan menggunakan operator pengeluaran getah.”

“Sebenarnya golongan anak muda ini tidak berminat menoreh getah kerana kalau menoreh getah kita merisik anak dara orang, orang tak bagi sebab nama pun penoreh getah. Jadi perlahan-lahan mereka berhijrah ke bandar untuk bekerja sektor lain yang lebih bergaya,” katanya.

Tambah Mohd. Taufik, beliau juga sudah mengesyorkan cadangan penukaran operator pengeluaran getah semasa menjadi Ahli Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini.

“Nama pun main peranan, jadi saya dah cadangkan RISDA guna panggilan operator pengeluaran getah dalam program-program mereka, ucapan atau apa sahaja aktiviti berkaitan komoditi itu agar lama-lama nama itu menjadi sinonim dan mampu menarik minat anak muda.

“Jika tidak dilakukan pembaharuan seperti ini tidak mustahil Malaysia akan terus jatuh kedudukan sebagai negara keenam pengeluar getah terbesar dunia selepas sudah menurun daripada ranking kedua sebelum ini,” jelasnya.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementeriannya sedang meneliti model konsolidasi atau penyatuan pekebun-pekebun kecil getah mengikut kluster iaitu antara 500 ke 1,000 hektar setiap kluster.

Johari berkata, langkah itu diyakini dapat meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos selain dipercayai mampu menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.

Di Kedah, lebih 24,058 hektar kebun getah dilaporkan tidak bertoreh ketika ini selain 34,621 hektar di Kelantan dan Pahang sekitar 19,481 hektar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: