NGO

Najib Dipenjara: Lalu Seterusnya Apa?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangkaan Nasib Ismail, Zahid dan UMNO

Seperti mana rakyat Malaysia sudah tahu, bahkan satu dunia pun sudah tahu yang Najib Razak telah pun dipenjara. Walau bagaimanapun, kita harus tahu bahawa Najib masih berpeluang untuk dibebaskan dengan beberapa cara, iaitu:

1. Failkan semakan kehakiman Mahkamah Persekutuan di Mahkamah Persekutuan, dan dengan itu, hakim lain akan menyemak keputusan penghakiman tersebut.

2. Boleh failkan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan oleh sesiapa sahaja untuk dinilai oleh ahli Lembaga Pengampunan yang dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan (Nota: Menteri WP sekarang ialah geng UMNO). Yang di-Pertuan Agong yang akan putuskan pengampunan diberi atau tidak.

3. Setelah nombor (1) atau (2) di atas selesai, boleh sahaja Ketua Hakim Negara atau barisan kehakiman ditukar seandainya Barisan Nasional mentadbir tanpa atau dengan Perikatan Nasional/Pakatan Harapan (baca dalam konteks UMNO itu sendiri). Maka, kes boleh dibuka semula untuk mendakwa mantan Gabenor Bank Negara (Zeti Aziz) dan; suaminya, Hakim Mahkamah Tinggi (Mohd Nazlan Ghazali) yang ada peranan dalam isu SRC & 1MDB tetapi tidak ada jawapan diberi oleh Peguam Negara daripada hasil siasatan tersebut.

Di sini, saya mengulas apa kesan Najib dipenjarakan kepada UMNO, masa depan Ismail dan sokongan rakyat Malaysia.

A. Apakah Kesan Terhadap Najib?

Jika lihat kes Anwar dipenjara sebelum ini, ia tidak melunturkan sokongan sekalipun daripada rakyat Malaysia. Bahkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 adalah manifestasi harapan anak muda di Lembah Klang dan orang Cina kepada Pakatan Rakyat untuk menang PRU. Malahan, pemenjaraan Anwar menimbulkan simpati sebahagian rakyat Malaysia kepada Pakatan Harapan, tetapi masih tidak cukup ampuh.

Untuk kes Najib, saya membincangkan dalam dua konteks, iaitu pengaruh ‘Malu Apa Bosku’ dan kebangkitan UMNO.

Konteks pertama ini seperti kita tahu siri Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri sebelum ini menyaksikan kehadiran Najib menambah tonik pada pengundi setempat untuk menyokong BN.

Pun begitu, mereka sokong BN bukan kerana Najib semata-mata – dengan fakta-fakta yang ditabur di laman Facebook rasminya, tetapi kerana sadisnya pentadbiran PH yang merosak ekonomi negara dan rakyat pada ketika itu.

Kini, faktor tersebut mungkin sudah luntur. PH yang lesu sekarang bangkit hasil usaha Rafizi untuk pastikan PH kembali mentadbir tanpa atau dengan BN/PN/Gerakan Tanah Air meskipun hasilnya belum diketahui lagi.

Hal ini kerana rakyat kini sudah penat dengan politik hingga keliru untuk beri undi pada siapa, lagi-lagi kepada orang Melayu dan Cina. Justeru, pemenjaraan Najib tidak akan menimbulkan simpati daripada rakyat melainkan ahli atau penyokong UMNO sahaja.

B. Apa kesan kepada UMNO?

Serterusnya saya bicarakan konteks kedua pula. Kepimpinan Presiden yang didukung majoriti oleh ahli UMNO atas dasar kepresidenan sudah pasti akan bangkit dengan semangat untuk menang PRU-15 dan sekaligus membentuk gabungan dengan GPS Sarawak sebahagian parti GRS di Sabah, sekaligus membenamkan PH dan PN seperti PRN Melaka dan Johor. Dan sekaligus boleh melunas dendam dengan mengheret semula beberapa pemimpin PH dan PPBM yang ada kes penyelewengan untuk didakwa di mahkamah.

Seterusnya, berkenaan kesan pada sokongan rakyat pada UMNO dan BN pula, perkara ini kurang memberi kesan kerana kita dapat menyaksikan PRU-12 dan PRU-14 apabila rakyat mengundi bersandarkan protes besar terhadap isu ekonomi perut mereka, iaitu GST dan kenaikan mendadak harga minyak (ketika itu kejatuhan ekonomi) dan juga faktor pencapaian PM, yakni memberi kesan lebih kepada BN dan cebisan kepada PN.

Justeru, segala tindak tanduk kerajaan Ismail Sabri akan jadi ukuran.

Akan tetapi, isu kapal LCS yang sedang panas kini jika tidak ditangani dengan baik, maka ia boleh meletupkan BN juga sama seperti 1MDB terutamanya dalam kalangan pengundi bandar yang sudah mencapai umur matang. Dan tidak mustahil boleh mempengaruhi anak muda berumur 18-24 tahun atau mereka yang kali pertama mengundi dan tidak celik politik untuk mengikuti jejak abang, kakak atau ibu bapa mereka.

Bukan itu sahaja, sebarang tindakan drastik terang-terangan daripada kepimpinan UMNO yang didominasi kem Zahid agak merosakkan UMNO di mata rakyat. Justeru sebarang keputusan yang dibuat selepas pemenjaraan Najib perlu dibuat teliti kerana bagi pada saya, UMNO lebih penting daripada individu. Jika UMNO kalah PRU-15 nanti dan tidak dapat berada dalam kerajaan, lagi teruk kesannya kepada UMNO berbanding PRU-14. Lebih baik bersabar dengan korbankan seorang dua daripada korbankan semua dalam UMNO.

Selain itu, antara dua kemungkinan lain yang memberi kesan kepada UMNO, boleh terjadi serentak atau salah satu, iaitu:

1. Singkirkan pengaruh geng Ismail Sabri daripada UMNO. Hal ini tidak mustahil kerana Zahid dalam kenyataan beliau mengatakan, “Tiada pengkhianatan sesama kita. Kita tahu siapa kawan dan lawan sebenar.” Kenyataan ini menimbulkan banyak tafsiran, adakah merujuk geng Ismail? Dan perlu diketahui ia didokong oleh akar umbi jika ini terjadi. Berdasarkan komen pada hantaran Facebook Ismail Sabri dan Zahid, tidak kurang ahli UMNO yang marah dengan Ismail, bahkan ada yang mendesak kepimpinan singkirkan Ismail.

2. Desakan bubar parlimen lebih kuat hingga Ismail Sabri tidak mampu berbuat apa-apa untuk mungkin hingga selesai pengumuman Bajet 2023.

C. Akhir sekali, apa kesan pada Ismail Sabri?

1. Berdasarkan perbahasan saya di atas, sememangnya Ismail akan lebih didesak walaupun hal pemenjaraan Najib memberi keuntungan pada Ismail untuk menguasai UMNO.

2. Tetapi perlu diingat, pemenjaraan Najib tidak akan membuat Ismail selesa kerana kedudukan beliau sudah pasti tergugat kerana majoriti orang UMNO menyokong Zahid berbanding Ismail. Dengan pindaan perlembagaan UMNO yang tidak akan beri kelebihan pun kepada Ismail. Lagipun, kes Zahid di mahkamah masih panjang lagi dan tempoh untuk pegang jawatan Presiden boleh disambung kembali setelah pemilihan UMNO nanti.

Rumusan

Kesimpulannya, isu Najib ini tidaklah memberi kesan sangat kepada UMNO tetapi sebarang tindakan drastik daripada kepimpinan untuk membuat langkah seterusnya akan membuka kebinasaan lebih besar dalam PRU-15.

Dengan dikatakan ekonomi akan merudum pada tahun hadapan oleh Bank Dunia, PRU-15 perlu dibuat segera oleh Ismail kerana rakyat mengundi mengikut prestasi PM dan kerajaan dalam soal ekonomi perut rakyat.

Bahkan kedudukan Ismail Sabri sudah semakin tidak selamat.

Sama-sama kita makan “popcorn” melihat kes mahkamah melibatkan Najib seterusnya dan drama politik negara antara BN, PH, PN dan GTA, siapa yang akan menang dalam pertarungan ini? Sebenarnya tarikh PRU-15 ditetapkan semua di tangan UMNO. Siapa yang akan menang permainan ini? Zahid atau Ismail? Yang menang mungkin boleh pegang Presiden UMNO jika BN menang PRU.

Arif Anwar bin Lokmanol Hakim
Penganalisis Politik Bebas

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: