Tempatan

NADMA Sedia Hadapi Banjir Ekoran La Nina

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Julai 2024 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan fenomena La Nina yang dijangka bermula Julai sehingga Oktober ini.

Presidennya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memantau situasi cuaca semasa dan mengeluarkan amaran awal jika diperlukan.

Katanya, kedua-dua agensi sentiasa mengeluarkan amaran berkaitan kemungkinan banjir di sesuatu tempat berdasarkan pemantauan mereka dan NADMA akan memaklumkan kepada agensi-agensi kerajaan, jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah dan juga badan bukan kerajaan untuk persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

“Setakat ini, banjir-banjir yang berlaku dikendalikan dengan baik di peringkat daerah tanpa penglibatan langsung NADMA dan ini menunjukkan kesiapsagaan orang ramai di peringkat tempatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia bakal menyaksikan taburan hujan tinggi dan cuaca lembap ekoran fenomena La Nina yang dijangka bermula Julai sehingga Oktober ini.

Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, suhu permukaan laut ketika ini memaparkan tren penurunan sekali gus konsisten menunjukkan keadaan di Lautan Pasifik mula bertukar kepada fasa sejuk.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, jawatankuasa pengurusan bencana negeri sentiasa diperkasa dengan peruntukan awal dan latihan-latihan yang berkaitan untuk memastikan kesiapsiagaan mereka dan latihan ini termasuk simulasi banjir dan latihan kecemasan yang melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan semua pihak tahu tanggungjawab mereka semasa kejadian banjir.

Katanya, kerjasama antara pelbagai agensi adalah penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana banjir dan NADMA memastikan semua agensi berkaitan bersiap sedia dengan mengadakan mesyuarat berkala dan simulasi kecemasan.

“Ini termasuklah memastikan bekalan makanan, perubatan, dan tempat perlindungan sementara adalah mencukupi untuk menampung mangsa banjir,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: