Jalan Lurus

Nabi Khidir AS Masih Hidup?

Jumhur ulama’ Mufassirin menafsirkan bahawa insan yang bertemu dengan nabi Musa AS dalam surah Al-Kahfi adalah nabi Khidir AS.

Dalam ayat 60-82 Surat Al-Kahfi menceritakan tentang Nabi Musa AS bertemu dengan seseorang yang dirahmati oleh Allah SWT. Insan tersebut terus melakukan perjalanan yang jauh setelah berpisah dengan nabi Musa AS.

فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا

Maksudnya : “Lalu mereka berdua (Nabi Musa AS) bertemu dengan seorang hamba (Nabi Khidir AS) di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan rahmat kepadanya dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami”. (Al-Khafi : 65).

Ayat ini menjelaskan bahawa Nabi Musa AS menemui dan sempat berjumpa dengan Nabi Khidir AS ini yang terus melakukan perjalanan.

Sheikh Al-Athiyah yang merupakan ulama’ besar Al-Azhar menyatakan tentang peristiwa tersebut :

تَحَدَّثَ الْقُرْآنُ الْكَرِيْمُ عَنْ عَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ تَقَابَلَ مَعَهُ مُوْسَى عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَكَانَ بَيْنَهُمَا مَا جَاءَ فِى سُوْرَةِ الْكَهْفِ {فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا} الآية: 65 وَتَحَدَّثَتِ السُّنَّةُ النَّبَوِيَّةُ الصَّحِيْحَةُ كَمَا رَوَاهُ الْبُخَارِى وَأَحْمَدُ وَالتُّرْمُذِى عَنْ هَذَا الْعَبْدِ الصَّالِحِ بِاسْمِ “الْخِضْرِ” لأَنَهَ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ هِىَ وَجْهُ اْلأَرْضِ فَإِذَا هِىَ تَهْتَزُّ مِنْ تَحْتِهِ خَضْرَاءُ(فتاوى الأزهر 10/ 425)

“Al-Quran mengkisahkan seorang hamba diantara hamba-hamba Allah yang berjumpa dengan Nabi Musa AS, yang dijelaskan dalam surat al-Kahfi yang ertinya: ‘Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami’. Hadis-hadis sahih, seperti al-Bukhari, Ahmad dan Tirmidzi menjelaskan tentang ‘hamba’ ini adalah Khidir (hijau). Disebut Khidir kerana jika ia duduk di atas tanah yang tandus, maka akan tumbuh pepohonan yang hijau” (Fatawa al-Azhar 10 / 425).

Dalam kitab Fatawa Al-Azhar yang menghimpunkan fatwa-fatwa Al-Azhar menyatakan bahawa insan tersebut adalah nabi Khidir AS yang sentiasa hidup dan sentiasa menghijau sentiasa (hidup).

Badiuzzaman Said Nursi di dalam Maktubat, al-Maktub al-Awwal, dari koleksi Rasail al-Nur menyatakan bahawa kehidupan itu ada 5 jenis iaitu:

1. Peringkat kehidupan manusia biasa yang terikat dengan Masa dan Tempat. Ia melibatkan semua manusia secara umum.

2. Peringkat kehidupan manusia yang dikhususkan. Mereka mempunyai sedikit kebebasan dari ikatan seperti kita. Mereka boleh berada di pelbagai tempat dalam satu masa. Mempunyai Wilayah tersendiri. Seperti nabi Khidir AS dan nabi Ilyas AS.

3. Peringkat kehidupan Nurani yang menghampiri hayah Malaikat. Seperti Nabi Idris AS dan Nabi Isa AS. 

4. Peringkat kehidupan rohani yang sentiasa diberikan rezeki oleh Allah SWT ialah kehidupan para Syuhada’. 

5. Peringkat kehidupan rohani ahli kubur yang telah meninggal.

Pembahagian kehidupan ini membuktikan bahawa nabi Khidir AS itu masih hidup kerana dikhususkan oleh Allah SWT.

Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Ibn al-Šalah, al-Tsa’labi dan majoriti para ulama’ menyatakan bahawa Nabi Khidir AS masih hidup dengan jasadnya. Ia akan diwafatkan sebagai manusia pada akhir zaman.

Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyanggah pendapat orang-orang yang menganggap Nabi Khidir AS telah wafat kerana terlalu banyak riwayat yang menyatakan tentang hidupnya nabi Khidir AS yang terus menerus melakukan perjalanan di dalam ilmu Laduni.

Imam Nawawi menyatakan dengan jelas tentang Nabi Khidir AS masih hidup dengan jasad dan ruhnya berdasarkan beberapa riwayat sahih. Beliau dalam “Syarah Muslim” Juz 15,  Bab Kelebihan Nabi Khidir AS menyatakan :

“Jumhur Ulama’ berpendapat bahawasanya dia (Nabi Khidir) hidup dan wujud di kalangan kita. Pendapat ini telah disepakati oleh para ahli Tasawwuf dan para ahli Sholeh dan Ma’rifat (orang-orang ahli kebajikan dan ma’rifah). Cerita-cerita mereka mengenai melihat dan bertemu dengan baginda dan mengambil pengajaran serta bersoal-jawab dengan baginda, dan kehadiran baginda di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak daripada dihitung dan terlalu masyhur daripada boleh ditutup. Dan telah berkata As-Sheikh Abu ‘Umar bin As-Sholah: “Dia (Nabi Khidir) hidup menurut jumhur ulama’ muktabar dan orang-orang soleh dan orang awam adalah beserta mereka dalam pegangan ini”. Dia juga berkata: “Bahawasanya adalah satu pandangan yang ganjil daripada sesetengah muhadditsin pada mengingkari hal ini (yakni sebahagian ahli hadits mengingkari bahawa Nabi Khidir masih hidup). (Syarah Muslim, Juz Ke-15, Muka Surat 135 – 136 hlm).

Imam As-Suyuti telah menyebut dalam “Luqtul Marjaan” daripada Sayyidina Ibnu ‘Abbas RA sebagai berkata :

“Nabi al-Khidir AS dan Nabi Ilyas AS bertemu pada setiap tahun di musim haji dan mereka berdua berpisah atas kalimah-kalimah ini: “Dengan nama Allah, sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang menolak kejahatan melainkan Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, setiap kenikmatan adalah daripada Allah; Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah”. Lantas Ibnu ‘Abbas RA berkata: “Sesiapa yang membaca doa ini ketika pagi dan petang sebanyak 3 kali, maka Allah akan mengamankan dia daripada tenggelam (lemas), kebakaran, kecurian, daripada kejahatan syaitan, penguasa, ular dan kala jengking.” (Sheikh Muhammad Amin Kurdi, kitab “Tanwirul Qulub”, Hlm. 422)

Kisah ini jelas menyatakan bahawa Ibn ‘Abbas AS yang merupakan sahabat Rasulullah SAW terdekat meyakini bahawa Nabi Khidir AS masih hidup. Riwayat ini juga disebut oleh Ibnu Asakir.

Abu Ishaq As-Tha’labi yang merupakan seorang ahli tafsir dengan katanya, “Dikatakan bahawa Nabi Khidir AS tidak akan wafat kecuali di akhir zaman iaitu sewaktu Al-Quran di angkat ke langit ”.

Ibnu Solah berkata : “Nabi Khidir AS masih hidup di kalangan para ulama’ dan bergaul dengan mereka”. Amru bin Dinar pula berkata : “ Sesungguhnya Nabi Khidir AS dan Nabi Ilyas AS kedua-duanya masih lagi hidup selagi masih ada Al-Quran sehinggalah ia di angkat ke langit barulah mereka akan wafat.” 

Manakala Al-Yafi’ie berpendapat, “ Sesungguhnya aku telah mendengar seorang Sheikh besar iaitu Najmuddin Al-Asfahani berada di belakang kubur Nabi Ibrahim AS menyatakan bahawa Nabi Khidir AS memohon dari Allah SWT agar dicabut nyawanya ketika Al-Quran di angkat ke langit .”

Wujud empat orang di kalangan nabi yang masih hidup, dua nabi berada di langit iaitu Nabi Isa AS dan Nabi Idris AS, manakala dua nabi berada di bumi iaitu Nabi Khidir AS di lautan dan Nabi Ilyas di daratan.

Wujud riwayat yang menyatakan bahawa menjelang kewafatan Rasulullah SAW, hadir Nabi Khidir AS yang menyampaikan takziah dan Sayidina Ali RA bertanya kepada orang lain tentang hal tersebut :

فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَنْ هَذَا؟ هَذَا الْخِضْرُ وَعَلَيْهِمْ أَجْمَعِينَ. (رَوَاهُ مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ أَبِي عُمَرَ عن مُحَمَّدٍ بْنِ جَعْفَرَ بْنِ مُحَمَّدٍ : كَانَ أَبِي، يَذْكُرُ عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ عَلِيٍّ، أَنَّهُ دَخَلَ عَلَيْهِ … فَذَكَرَهُ بِسَنَدٍ رِجَالُهُ ثِّقَاتٌ اهـ (إتحاف الخيرة المهرة 2/ 526

“Tahukah kalian siapa dia? Dia adalah nabi Khidir AS” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail an-Nubuwwah dan Ibn Sa’d dalam Thabaqat al-Kubra). Al-Hafidz al-Bushiri menilai perawi riwayat tersebut kesemuanya Thiqah terpecaya.

Dalam Tafsir al-Khazin, menyatakan bahawa sememangnya ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan samaada nabi Khidir AS masih hidup atau tidak. Lantas menyatakan bahawa hampir majoriti ulama’ muktabar dan ahli-ahli Tasawwuf menyatakan nabi Khidir AS masih hidup berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih :

وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِى أَنَّ الْخَضِرَ أَحَيٌّ أَمْ مَيِّتٌ، وَقِيْلَ إِنَّهُ حَيٌّ وَهُوَ قَوْلُ اْلأَكْثَرِيْنَ مِنَ الْعُلَمَاءِ، وَهُوَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عِنْدَ مَشَايِخِ الصُّوْفِيَّةِ وَأَهْلِ الصَّلاَحِ وَالْمَعْرِفَةِ. وَالْحِكَايَةُ فِى رُؤْيَتِهِ وَاْلإِجْتِمَاعِ بِهِ وَوُجُوْدِهِ فِى الْمَوَاضِعِ الشَّرِيْفَةِ وَمَوَاطِنِ الْخَيْرِ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ تُحْصَى.

“Terjadi perbezaan pendapat di antara para Ulama’ apakah Nabi Khidir AS masih hidup atau sudah mati? Dikatakan bahawa Nabi Khidhir AS masih hidup dan itu perkataan/ pendapat jumhur majoriti para Ulama’. Dan itu merupakan kesepakatan bagi para guru-guru sufi (ahli tasawuf) dan ahli kebaikan serta ahli makrifat. Dan juga cerita tentang terlihatnya Nabi Khidir dan berkumpulnya. Dan masih nampak pada tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat baik yang banyak tidak terhitung” (Tafsir Khazin, Juz 3, Hlm. 209)

Hampir keseluruhan ulama’ menyatakan Nabi Khidir AS masih hidup berdasarkan beberapa riwayat yang sahih. Namun masih wujud golongan yang sering melawan ulama’ muktabar hanya dengan alasan tidak wujud di dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Agenda mereka tidak lain tidak bukan ingin mematikan konsep Ihsan dalam Ilmu Tasawwuf yang mempunyai Dhauqiyyah Laduniyyah.

Oleh: Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo
Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI).

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili samudera.my

Leave a Reply

Back to top button