Jalan Lurus

Nabi Khadir a.s: Jawapan Balas Artikel Kamilin Jamilin

https://www.facebook.com/ASWJResearchGroup/posts/3913525565344991

Kami telah membaca isi jawapan balas Kamilin Jamilin. Tetapi menurut ARG, Kamilin tidak menjawab isi penting artikel kami. Berikut beberapa isi yang boleh kami simpulkan dalam artikel jawapan Kamilin terhadap artikel kami:

1) Kamilin yang pada artikel awalnya mengatakan bahawa hadith-hadith hidupnya Khadhir SEMUANYA adalah dusta (palsu) masih tidak mampu memberikan bukti dakwaannya dengan ilmiah dari sudut takhrij hadith bahawa hadith yang kami sampaikan adalah palsu, sebaliknya berlegar-legar dengan istilah-istilah dalam ilmu hadith tanpa mengaplikasikannya.

2) Positifnya artikel kedua Kamilin adalah beliau sudah tidak menggunakan perkataan “mitos” lagi berbanding artikel pertama beliau yang menggunakan perkataan “mitos” pada permulaan dan kesimpulan artikel kerana ternyata jumhur Ulama meyakini bahawa Nabi Khadir masih hidup.

3) Hanya 3 perkara sahaja menurut kami perlu disentuh dan pembaca boleh nilaikan selepas membaca jawapan balas kami dibawah.

PERTAMA: TENTANG SIGHAT TAMRIDH DALAM SHAHIH MUSLIM

Kamilin Jamilin menyebut: “Pernyataan dari Abu Ishaq yang dinukilkan Imam Muslim dalam Shahihnya tidak boleh diterjemahkan sebagai berkata, kerana ia berbentuk isghat tamridh bukan jazem yang pasti. Ia hanya membawa maksud “Dikatakan”.

Jawapan ARG:

Mari kita lihat kembali teks Shahih Muslim:

قَالَ أَبُو إِسْحَقَ يُقَالُ إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ هُوَ الْخَضِرُ عَلَيْهِ السَّلَام

“Abu Ishaq berkata: “Dikatakan bahwa lelaki ini adalah Khadhir ‘alaihissalam” (Shahih Muslim).

Dalam Kitab Shahih Muslim, disebut secara jazem perkataan Abu Ishaq. Ada pun isi ucapan Abu Ishaq menggunakan kalimat “yuqolu” yang difahami sighat tamridh. Tetapi apakah sighat tamridh selalunya menunjukkan lemahnya riwayat?

Pertama: Banyak ulama’ mutaqaddimin, seperti Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari, Imam at-Tirmidzi, Imam Abu Dawud dan lain-lain yang menggunakan sighat tamridh untuk penukilan riwayat yang shahih (thabit dari Rasulullah dan lain-lain). Paling tidak, ini memberikan fahaman bahawa method ulama’ mutaqaddimin berbeza dengan muta’akhirin. Dan Abu Ishaq adalah ulama’ mutaqaddimin.

Kedua: Menggunakan sighat tamridh dalam riwayat yang shahih adalah buruk (tidak baik) menurut ulama’ muta’akhirin, tetapi bukan sebarang kepastian bahawa isi riwayatnya dhaif atau berdosa menggunakan sighat tamridh.

Ketiga: Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim memutus perselisihin antara kami dengan Kamilin Jamilin, bahawa ucapan Abu Ishaq (dan Mu’ammar dalam al-Jami’-nya) adalah penjelasan dan penegasan hidupnya Nabi Khadhir, bukan lagi memperdebatkan shahih atau tidaknya.

Imam an-Nawawi berkata:

وهذا تصريح منه بحياة الخضر عليه السلام وهو الصحيح

“Ini adalah penjelasan dari Abu Ishaq (atau Mu’ammar) tentang hidupnya Khadhir ‘alaihissalam dan itulah yang SHAHIH”. (Syarah an-Nawawi).

Dan Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari pun tidak mengatakan riwayat ini lemah kerana menggunakan sighat tamridh.

KEDUA: HUJJAH MUTAWATIR MA’NAWI HIDUPNYA KHADHIR DAN SIGHAT TAMRIDH

Berikut teks Imam Ibn Hajar yang menjadi mahallun niza’ antara kami dengan Kamilin Jamilin:

والذي تميل إليه النفس ، من حيث الأدلة القوية . خلاف ما يعتقده العوام ، من استمرار حياته ، ولكن ربما عرضت شبهة من جهة كثرة الناقلين للأخبار الدالة على استمراره ، فيقال : هب أن أسانيدها واهية ، إذ كل طريق منها لا يسلم من سبب يقتضي تضعيفها ، فماذا يصنع في المجموع ؟ فإنه على هذه الصورة قد يلتحق بالتواتر المعنوي الذي مثلوا له بجود حاتم .

Ibn Hajar mula-mula menjelaskan bahawa kecondongan hati dari sisi dalil yang kuat adalah menyelisihi keyakinan kalangan umum yang mengatakan Khadhir masih hidup. Tetapi muncul hujjah yang boleh menolak keyakinan tersebut. Iaitu banyaknya nukilan khabar yang menyebutkan Khadhir masih hidup hingga kini.

Kemudian Ibn Hajar menyebutkan hujjah yang menyatakan Khadhir masih hidup berupa mutawatirnya kisah tersebut. Dan Ibn Hajar menggunakan kalimat “yuqolu” yang dipahami Kamilin Jamilin sebagai sighat tamridh.

Menurut kami ini adalah pemahaman yang aneh dan ganjil. Kalimat “yuqolu” dari Ibn Hajar tidak sedang meriwayatkan hadith atau menukil ucapan seseorang, tetapi menyampaikan atau mensharihkan hujjah/syubhat bagi ulama’ yang menyatakan Khadhir masih hidup. Oleh kerana itu, kalimat “yuqolu” diatas bukan sighat tamridh, dan tidak setiap setiap yang menggunakan sighat majhul (mabni maf’ul) selalu disebut tamridh.

Sememangnya itu betul bukan ucapan Ibn Hajar, akan tetapi beliau berusaha secara objektif dengan mengatakan bahawa itulah hujjah yang menyatakan Khadhir masih hidup. Dan Ibn Hajar pun tak menolak hujjah “mutawatir ma’nawi” yang beliau sampaikan.

Dan setelah ucapan diatas, Ibn Hajar menyatakan:

فمن هنا مع احتمال التأويل في أدلة القائلين بعدم بقائه

“Maka dari sini, dalil-dalil bagi ulama’ yang mengatakan Khadhir tidak kekal ada keberangkalian (ihtimal) ta’wil”.

Ini tashrih dari Ibn Hajar, bahawa tidak ditemukan dalil dengan dalalah yang qath’i bahawa Khadhir telah wafat. Semua dalil masih ada kemungkinan dita’wil atau takhsis. Sayangnya nukilan ini tidak disampaikan Kamilin Jamilin, padahal ini untuk melengkapi sikap objektif Ibn Hajar.

Ada pun ucapan Ibn Hajar dihujung kitab yang juga dinukil Kamilin Jamilin:

وأقوى الأدلة على عدم بقائه ، عدم مجيئه إلى رسول الله…. الخ

“Dalil yang terkuat tentang ketidak kekalan Khadhir adalah tidak datangnya dia kepada Rasulullah”

Ini hanyalah hikayah beliau, bahawa dalil yang kuat bagi yang menyatakan Khadhir tidak hidup lama adalah dia tidak pernah datang kepada Rasulullah dan lain-lain. Dan ini bukan sikap tarjih dari Ibn Hajar. Dan bagi yang biasa memahami muqoronah adillah, hal seperti ini sudah biasa dan bukan benda yang aneh.

KETIGA: TASHHIH AZ-ZAHABI, IBN HAJAR DAN IBN ARRAQ TENTANG KISAH KHADHIR

Kamilin Jamilin mengatakan kisah shahih daripada Umar bin Abdil Aziz yang bersama Khadhir bukan hujjah syar’iyah. Kami jawap, itu jawapan betul, akan tetapi kisah shahih ini menguatkan hujjah-hujjah hadits yang menyebutkan Khadhir masih hidup.

Dan andai isi riwayat tersebut dusta dan menyelisihi dalil yang qath’i dalalahnya, tentu Ibn Hajar dan az-Zahabi akan segera mengkritik dan mengatakan bahawa kisah tersebut dusta, takhayyul dan menyelisihi syariat atau dalil yang qath’i.

Disediakan Oleh:

Unit Penyelidikan

Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)

Leave a Reply

Back to top button