Tempatan

Adakah Fungsi SUHAKAM Corakkan Identiti Negara Ikut Acuan Barat? – Profesor Rafidah Hanim

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2021 – Secara umum, banyak perkara yang diterajui oleh SUHAKAM menimbulkan keresahan termasuklah dalam laporan tahunan mereka pada 2018 yang menyatakan “Pematuhan kepada pengkelasan dua jantina secara tradisi menyebabkan diskriminasi terhadap LGBT dan pelanggaran hak asasi,” menurut Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

“Masyarakat pernah dikejutkan dengan pernyataan “Sex Work is Work” oleh Pesuruhjaya SUHAKAM. Kenyataan ini meminjam dari falsafah hak asasi PBB yang sangat tidak sesuai dengan negara kita,” kata beliau.

Kajian menunjukkan tagline demikian lebih berpihak kepada bapa ayam, dan hanya memerangkap wanita dalam industri pelacuran, menurutnya lagi.

SUHAKAM dalam satu laporan pernah turut membela Presiden Pelangi Campaign yang pernah menyatakan Mukhayyam adalah “State Sponsored Violence”. Kenyataan tersebut dikeluarkan presiden NGO advokasi gay tersebut dalam membantah pendekatan agama untuk isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), kata beliau lagi kepada wartawan Samudera.my.

“Dalam erti kata lain, SUHAKAM menyalahkan agama akan pengkelasan jantina ini.”

Jelas Prof Rafidah, “Sudah tentu ibu bapa umat Islam, saya fikir agama-agama lain juga khususnya di kampung bimbang jika anak-anak muda kita di IPT mula berpegang kepada falsafah itu. Kita pasti masih ingat tentang isu SugarBook.”

Bukan itu sahaja, menurut Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, kertas cadangan kajian SUHAKAM yang tidak bebas dan laporan Separuh Penggal mereka kali ini mula mengangkat idea gender ketiga dan non-binari ke arus perdana.

Ini membuatkan beliau tertanya, tidakkah suruhanjaya itu mengambil berat pandangan rakyat majoriti Muslim Malaysia yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan undang-undang yang SUHAKAM kemukakan kepada badan-badan instrumen hak asasi di Geneva?

SUHAKAM sepatutnya tidak perlu mengikut bulat-bulat naratif hak asasi seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan instrumen pemantauan hak asasi seperti mekanisma Semakan Berkala Sejagat (UPR), Treaty Bodies dan Special Procedures yang merujuk kepada Prinsip Paris (Paris Principles), tegas Prof Rafidah.

Contohnya, dalam tahun 2011, ahli Jawatankuasa Majlis Hak Asasi, yang diketuai oleh Afrika Selatan dan majoriti negara-negara Amerika Latin dan Eropah mengundi untuk meluluskan resolusi 17/19 yang menjadikan LGBT sebagai hak asasi.

“Kita tidak pernah bersetuju. Itu nilai mereka. Bila pula kita dapat menyampaikan naratif kita yang tidak bersetuju dengan LGBT kerana hak kesihatan mereka, hak sosial mereka, hak beragama mereka jika kita sebagai “parrot” hanya akur tanpa naratif balas?

“Maka, kesemua perkara-perkara ini membuatkan kita tertanya-tanya adakah fungsi SUHAKAM itu adalah untuk mencorakkan identiti negara mengikut naratif PBB dan hak asasi acuan Barat?” soal beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: