Antarabangsa

Myanmar Setuju ‘Terima Semula’ Pelarian Rohingya

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BANGLADESH, 22 Oktober 2022 – Menurut sebuah pengumuman, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menyatakan bahawa kerajaan Myanmar bersedia menerima semula pelarian Rohingya ke negara tersebut.

Myanmar juga akan menggunakan bantuan China untuk menguruskan urusan menghantar kembali pelarian Myanmar tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Myanmar sudahpun dalam proses mempersiapkan fasiliti yang berkenaan di wilayah Rakhine, sebuah wilayah yang banyak diduduki oleh kaum Rohingya.

“Berita baiknya ialah kerajaan Myanmar kini telah bersetuju untuk mengambil semula rakyat Myanmar, dan mereka sedang membina fasiliti di wilayah Rakhine,” ujar Abdul Momen dalam sebuah ucapan.

Namun, beliau turut menyuarakan kepincangan dalam urusan mengembalikan pelarian Myanmar tersebut, di mana kerajaan Myanmar meminta supaya pelarian-pelarian Rohingya tersebut mengemukakan dokumen pengenalan diri masing-masing.

“Ketika rakyat Rohingya melarikan diri dari Rakhine, situasi di sana adalah sangat bahaya dan mereka datang ke Bangladesh tanpa apa-apa melainkan baju yang mereka pakai. Bagaimana sekarang mereka nak bekalkan dokumen yang membuktikan mereka sebagai rakyat Myanmar?” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: