Muzium Bakal Dibuka Di Tapak Bersejarah Bahtera Nuh, Turkiye
TURKIYE, 02 Mei 2023 – Sebuah muzium bakal dibuka di Timur Turkiye, lokasi yang dipercayai menjadi tempat Bahtera Nuh terkandas selepas banjir besar, menurut laporan berita Timur Tengah.
Kata laporan itu, sebuah syarikat Turkiye, Dosso Dossi Holding dan Agri Governorship telah bekerjasama untuk membina sebuah kompleks termasuklah sebuah muzium di Kampung Telceker.
Kompleks berkenaan merangkumi dewan, kafeteria, kedai cenderamata, teres tontonan terbuka dan tertutup serta kawasan taman persendirian.
BACA JUGA: Apa Peranan Sebenar OIC? Menteri Pertanian Persoal Keabsahan OIC
BACA JUGA: Sarawak Aktifkan Pangkalan Hadapan Musim Kemarau Buat Pertama Kali
BACA JUGA: Jenayah Kebencian Bakal Meningkat Di AS Menjelang Pilihan Raya 2024 – Pemerhati
Muzium itu juga kebanyakannya akan menampilkan karya seni digital di mana ia bakal menyumbang kepada potensi pelancongan di rantau berkenaan.
“Dengan seni digital dan muzium sedemikian, kami akan menunjukkan kepada rakyat kami bahawa pelancongan adalah pulangan komersial yang hebat. Beberapa negara di Eropah khususnya, memperoleh semua pendapatan mereka daripada pelancongan,” kata Hikmet Eraslan, Pengerusi Lembaga Dosso Dossi Holding.
Dalam pada itu, Gabenor Ağrı, Osman Varol berkata, muzium tersebut akan memberikan nilai tambahan kepada bandar berkenaan.
Wilayah di sekitar Gunung Ağrı atau juga dikenali sebagai Gunung Ararat – sebuah lokasi di mana Bahtera Nuh dikatakan terkandas sewaktu banjir surut telah menarik ribuan pelancong tempatan serta asing setiap tahun malah menarik perhatian penyelidik asing dan pembuat filem dokumentari.