Musuh Bina Kekuatan Kekang Pengislahan – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 April 2022 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya menyatakan kebimbangannya terhadap nasib bangsa dan agama kerana musuh-musuh Islam tidak berdiam diri dan sedang membina kekuatan untuk mengekang kebangkitan pihak yang ingin membuat pengislahan.
“Musuh-musuh membina kekuatan dan sentiasa merancang untuk mengekang kebangkitan mana-mana pihak yang ingin membuat pengislahan.”
Justeru, Hj Aminuddin mengingatkan pihak yang ingin membuat pengislahan supaya “Melihat dalam rangka yang luas, dalam rangka yang syumul bukan dalam rangka juz’iyyah ataupun serpihan”.
Ini kerana, negara kini benar-benar berada di persimpangan antara kebejatan fitnah dengan kelemahan umat Islam sendiri terutamanya akhir-akhir ini banyak menyentuh soal utama iaitu akidah umat Islam.
“Fitnah yang semakin melebar baik dari segi sistem siyasah, sistem Syariah, sistem muamalah, ijtimai’yah, fardiyah dan lebih besar lagi sejak akhir-akhir ini soal akidah.”
Tambah Hj Aminuddin, ini terjadi kerana setiap negara di seluruh dunia diwajibkan mengadaptasi elemen-elemen New World Order, Universal Value dan pertumbuhan pembangunan mampan SDG (Sustainable Development Growth) sebagai kewajipan malah dijadikan sebagai kanun untuk mencapai sebuah negara yang bertamadun dan maju.
Sehubungan dengan itu, apa yang terjadi di negara ini bukan berlaku tanpa dirancang tetapi dilegasikan oleh pihak kolonial yang meninggalkan satu bentuk sistem yang menekan pembinaan jati diri bangsa dan agama sehingga berlakunya kegagalan pelaksanaan Syariah, ketegangan hubungan kaum, kecelaruan pemikiran tentang agama dan sebagainya, hasil dari sistem yang diwarisi daripada kolonial.
“Sistem ini sudah menjadi suatu yang sebati dengan jiwa rakyat dan diimani sebagai satu yang hakiki seolah-olah jika ada yang mencadangkan sistem lain, sistem Islam dan sebagainya maka ia dianggap umpama tersimpang daripada akidah.”
Demikian, kenyataan lantang yang diutarakan Hj Aminuddin dalam Konvensyen Ulama & Da’i PEMBELA Islam 17 April lalu di Cyberjaya.