Muslim Kebumi Jenazah Cemar Alam Sekitar — Penduduk Jepun
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
TOKYO, 11 Oktober 2021 – Sudah puluhan tahun penduduk tempatan Wilayah Oita, Jepun menentang keras pembukaan kawasan perkuburan Islam dengan alasan jenazah umat Islam bakal mencemarkan alam sekitar, terutamanya sumber air semulajadi yang menjadi minuman bagi ternakan.
Sumber air semulajadi yang kononnya perlu dipertahankan daripada dicemari oleh jenazah umat Islam itu terletak sejauh 1.2 kilometer dari tanah yang telah dibeli oleh masyarakat Islam setempat sebagai perkuburan Islam.
“Kami tidak tahu lagi apa kesannya pada kehidupan kami,” kata seorang penternak berusia 61 tahun yang mendakwa sumber air itu penting sebagai minuman lembu-lembu ternakannya. “Saya risau harga lembu akan jatuh jika reputasinya tercalar.”
Seorang lagi penduduk setempat khuatir kewibawaan bandar mereka akan terjejas sekiranya terdapat mayat umat Islam berteraburan atas permukaan tanah selepas terpelanting keluar dari kubur sekiranya berlaku gempa bumi yang amat dahsyat.
“Sekiranya terdapat gempa bumi yang terlalu hebat, tidakkan nanti mayat-mayat itu akan terpelanting keluar dari tanah?” dan, “Ia bakal merosakkan kewibawaan bandar ini.”
Mereka telah menghantar petisyen di peringkat majlis perbandaran dan pemimpin politik bagi menghentikan pembukaan perkuburan umat Islam di sana.
Halangan ini memberi cabaran yang besar kepada umat Islam setempat untuk mendapatkan kelulusan dari pihak kerajaan setempat, yang menyebabkan permohonan mereka selama lebih sedekad itu tergantung sehingga sekarang.
Hirofumi Honda, Datuk Bandar yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai permohonan ini memberi isyarat bahawa beliau memerlukan masa yang panjang bagi membuat pertimbangan, “Perkara ini sepatutnya diadili berdasarkan ordinan dan perkara-perkara lain.”
Alternatif yang ada bagi penduduk Oita yang beragama Islam jika berlaku kematian di kalangan kaum keluarga adalah dengan merayu keizinan dari pihak Kristian untuk tumpang mengebumikan jenazah mereka di jirat Kristian memandangkan penduduk setempat langsung tidak membantah akan kewujudan jirat Kristian di sana.
Pihak gereja mengalu-alukan umat Islam mengebumikan jenazah Muslim di jirat mereka memandangkan para penganut Kristian di sana lebih suka untuk membakar mayat kaum keluarga mereka sepertimana tradisi majoriti masyarakat Jepun.
Sudah menjadi satu kemestian bagi rakyat Jepun untuk membakar mayat kaum keluarga mereka tanpa mengira latar belakang agama serta komuniti.
Menurut laporan statistik yang dikeluarkan oleh The Cremation Society, 99.97 peratus mayat di Jepun pada tahun 2019 diuruskan dengan cara dibakar sehingga menjadi abu. Ini adalah peratusan statistik yang paling tinggi di dunia.
Namun, penduduk Jepun yang beragama Islam enggan untuk tunduk pada paksaan masyarakat di sana supaya turut sama membakar jenazah kaum keluarga mereka. Mereka kekal mahu menyempurnakan jenazah mereka sebagaimana mengikut garis panduan yang telah diajar oleh agama Islam.
Terdapat keperluan mendesak untuk umat Islam di sana untuk duduk berbincang dan mencapai kata sepakat dengan majoriti penduduk bukan Islam yang menghalang.
Ini kerana tanah jirat Kristian yang berhampiran sudah semakin penuh dengan jenazah umat Islam!