Musim Tengkujuh: Nelayan & Penoreh Buntu, Hilang Sumber Pendapatan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA KRAI, 14 Disember 2022 – Penoreh dan nelayan di Pantai Timur kini buntu memikirkan rezeki dan nasib mereka susulan musim tengkujuh yang melanda sekarang ini.
Menurut tinjauan sebuah portal tempatan, rata-rata penoreh mendedahkan mereka terpaksa ‘berehat’ sejak akhir November lalu sehingga sekarang akibat hujan lebat hampir setiap hari.
“Keadaaan cuaca sekarang ini tidak mengizinkan saya untuk keluar menoreh. Malah, pada November lalu, saya hanya dapat keluar menoreh getah beberapa hari sahaja dan ini amat dirasai ditambah dengan harga getah murah ketika ini iaitu RM2.50 sekilogram,” kata seorang penoreh dari Kampung Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Pas, Ruhana Mat, 62.
Beliau yang merupakan penoreh getah sepenuh masa itu kini hanya bergantung dengan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang diterima sebanyak RM300 pada bulan lalu.
Hal yang sama turut dihadapi oleh seorang lagi penoreh getah, Aziz Nor, 43 tahun.
“Sekarang ini, penoreh getah hanya bergantung kepada BMT dan ia pasti amat menyukarkan kami kerana bantuan itu sahaja tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
Kerana itu, beliau sangat berharap Kerajaan baharu dapat menaikkan harga getah sesuai dengan peningkatan kos sara hidup kini.
Di Terengganu pula, para nelayan turut berdepan dengan kesempitan wang berikutan ombak besar yang menyekat sumber pendapatan utama mereka.
“Awal minggu lalu saya turun ke laut pun airnya sudah bergelora dan hasil tangkapan juga tidak menentu. Namun sekurang-kurangnya ada duit belanja untuk membeli keperluan asas,” kata nelayan, Che Ghani Abdullah.
“Dengan cuaca ketika ini, bot kecil tidak sesuai untuk keluar menangkap ikan walaupun berhampiran muara. Jadi saya mencari pekerjaan lain sebagai pendapatan sampingan.”
Seorang lagi nelayan, Mohd. Nazarudin Abdullah, 47, pula berkata, beliau nekad turun ke laut walaupun berdepan detik cemas ketika di tengah laut apabila angin kencang dan ombak setinggi hampir dua meter kerana itulah punca utama pendapatan keluarganya.
“Menjadi nelayan sejak 34 tahun lalu adalah pekerjaan tetap untuk menyara isteri dan enam anak. Sebab itu saya tiada pilihan terpaksa turun ke laut.”
Walau bagaimanapun, menurutnya, sekiranya keadaan cuaca terlalu buruk dan membahayakan keselamatan, beliau terpaksa akur dengan keadaan demi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Dalam laporan berlainan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, dan Pahang sehingga Khamis, 15 Disember 2022.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” kata METMalaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.