Musim Sejuk Bakal Menjelang, Eropah Cemas Rusia Hentikan Bekalan Gas
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JERMAN, 28 Julai 2022 – Negara-negara Eropah terutamanya Jerman menghadapi tekanan daripada pihak Rusia yang dikatakan bakal menghentikan bekalan gas susulan sokongan yang dikemukakan pihak Eropah terhadap Ukraine.
Negara Jerman merupakan negara yang merasakan secara terus hasil sokongan mereka terhadap Ukraine, memandangkan saluran paip gas dari Rusia, saluran Nord Stream 1, bersambung terus dari Rusia ke Jerman.
“Keamanan sosial di Jerman sedang dicabar,” tegas Robert Habeck, Naib Canselor Jerman, seperti yang dilaporkan The Economist.
Menurut laporan, syarikat pembekal tenaga terbesar Rusia, Gazprom, telah mengurangkan lebih dari 60% bekalan gas ke negara-negara Eropah jika dibandingkan dengan situasi sebelum perang Rusia-Ukraine.
Negara-negara Eropah pula cuba mengawal krisis yang dihadapi mereka tersebut dengan meningkatkan kapasiti bekalan gas, mempelbagaikan sumber tenaga, mengusahakan supaya kadar permintaan dikurangkan dan ‘mencatu’ bekalan tenaga kepada pengguna.
Namun, sesetengah usaha ini hanya dapat menyelamatkan negara yang ‘bernasib baik’, di mana negara seperti Bulgaria, Romania dan Hungary dijangkakan bakal ‘merana’ susulan bekalan gas yang sedikit (50% dan ke bawah).