Program Libat Orang Islam Di Rumah Ibadat Bukan Islam Tidak Dibenarkan
SELANGOR, 16 Mac 2023 – Sebarang program melibatkan umat Islam di Rumah Ibadah Agama lain selain dari Rumah Ibadah Islam adalah dilarang sama sekali, kata YB Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.
Kenyataan beliau ini adalah susulan daripada penganjuran program yang berbentuk kefahaman serta nilai-nilai toleransi antara agama yang dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO).
BACA JUGA: Tauliah Ceramah: Masjid Perlu Kekal Zon Aman – JAWI
BACA JUGA: Ceramah Hina Institusi Diraja, Polis Buka Siasatan
BACA JUGA: Banjir Kilat Melanda Kawasan Gempa Bumi Turkiye, 14 Terkorban
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan di Facebook rasmi beliau, usaha tersebut disambut baik oleh Kerajaan Negeri namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terutamanya yang melibatkan faktor perundangan.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak JAIS sentiasa melakukan pemantauan serta akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.
Beliau turut mengingatkan setiap NGO supaya lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan serta merujuk kepada JAIS dan Jabatan Mufti sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.
“Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak JAIS dan Jabatan Mufti dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak terutamanya berkenaan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain.”
“Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama yang ada di negeri tercinta ini,” katanya lagi.