Murtad: Negara Dipimpin Umat Islam, Tapi Di mana Pemimpin Islam?! – Hj Aminuddin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 Februari 2022 – Pengerusi PEMBELA, Hj Aminuddin Yahaya menempelak pemimpin Islam yang hanya berdiam diri dalam isu akidah tiga kanak-kanak mualaf di Perlis sedangkan Malaysia dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Islam.
Baca: Ayah Sendiri Minta Kami Pertahan Keislaman Anak-Anaknya – Mufti Perlis
Baca: Enakmen Islam Perlis Bertentangan Keputusan Mahkamah Persekutuan – Dr P Ramasamy
Baca: Perlis perlu murtadkan 3 Kanak-Kanak – Ramkarpal
“Di mana pemimpin-pemimpin Islam? Sejak merdeka lagi negara kita ini dipimpin oleh umat Islam daripada atasan sehinggalah ke bawahan.”
Tegas beliau, isu tiga kanak-kanak mualaf ini tiada kaitan dengan soal politik tetapi melibatkan akidah umat Islam.
“Ini bukan soal politik, kamu nak bertanding, bertandinglah, nak memerintah, memerintahlah tapi ini soal akidah.”
Tambah Hj Aminuddin, ini bukan kali pertama akidah umat Islam dicabar tetapi telah banyak kali berlaku semenjak tahun 40-an lagi bermula dengan kes Natrah.
Rakyat terutamanya mengharapkan pemimpin politik kerana mereka adalah pihak yang memegang polisi dan pimpinan negara, sedang pihak NGO hanya mampu menyeru sahaja menurut Hj Aminuddin.
“Kita mengharapkan orang politik kerana mereka yang memegang polisi, mereka yang memimpin negara ini, kami tidak boleh buat apa, hanya menyeru sahaja.”
Justeru, beliau dan seluruh peserta himpunan tersebut mengharapkan perkara ini dapat diubah oleh pemimpin dan juga mengharapkan Majlis Raja-Raja Melayu melihat perkara ini kerana isu ini adalah merupakan isu akidah umat Islam dan bukan semata-mata politik.
Dalam ucapannya di himpunan tersebut, Hj Aminuddin meluahkan kekesalan kerana apabila melibatkan isu akidah yang merupakan perkara pokok dalam Islam, tidak nampak pemimpin-pemimpin Islam yang dahulunya ketika PRU berkempen menggunakan nama Islam bersuara mengenai isu ini.
“Apabila kes melibatkan akidah, bukan ekonomi, bukan sosial tetapi akidah yang merupakan perkara yang fundamental di dalam Islam, tetapi kita tidak nampak mana pemimpin-pemimpin yang menggunakan nama Islam untuk berkempen.”
Ketika Himpunan Solidariti Pertahan Akidah 3 Mualaf yang digerakkan oleh PEMBELA di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Hj Aminuddin turut mengingatkan rakyat Johor yang bakal mengundi pada Pilihanraya Negeri Johor nanti supaya menolak pemimpin-pemimpin sebegini yang hanya menggunakan agama untuk kepentingan diri.