Murid Sekolah California Diajar 9 Jenis Jantina
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 03 September 2022 – Sebuah susunan kurikulum sekolah di daerah selatan California mengajarkan bahawa terdapat lebih sepuluh orientasi seksual serta sembilan jantina.
Fox News telah melaporkan berita tersebut pada Rabu lalu dan isu ini telah menimbulkan kemarahan para ibu bapa yang menyatakan bahawa pendidikan sedemikian adalah “menormalisasikan tingkah laku seksual” pada usia yang sangat muda.
Pentadbiran sekolah daerah Newport-Mesa di daerah Orange telah memperkenalkan sebuah buku teks yang bertajuk ‘Comprehensive Health Skills for High School’ di mana ianya mengandungi perkara-perkara seperti wujudnya sembilan jenis identiti gender seperti ‘agender’, ‘androgynous’, ‘bigender’, ‘cisgender’, ‘gender-nonconforming’, ‘gender fluid’, ‘gender questioning’, ‘nonbinary’ dan transgender.
Buku teks yang sama juga turut mengajar berkenaan 10 orientasi seksual dan ‘romantik’ yang berbeza iaitu ‘androsexual’, ‘skoliosexual’, ‘demisexual’, ‘gynesexual’, ‘polysexual’ dan ‘asexual’. Bagi orientasi ‘romantik’ pula, terdapat lima jenis orientasi iaitu ‘heteroromantic’, ‘gyneromantic’, ‘homoromantic’, ‘androromantic’ dan ‘skolioromantic’.
Ramai ibu bapa telah menzahirkan rasa kemarahan mereka terhadap ajaran baharu ini dan mereka juga mengatakan bahawa ajaran baharu ini merupakan sebahagian dari agenda yang lebih besar, yang mana para pemimpin atasan sebenarnya tahu apa yang mereka sedang lakukan.
Menjawab laporan Fox News, pentadbir sekolah di peringkat daerah tersebut mengatakan ianya hanyalah semata-mata mengikut “standard yang digunakan oleh negeri terhadap pendidikan kesihatan, termasuklah kesihatan seksual” dan ianya menggunakan kurikulum kesihatan yang telah diluluskan.