Tempatan

Mungkin Tiada Kenaikan Gaji Tahun Ini – Persekutuan Majikan Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 19 Mac 2022 – Kenaikan gaji seperti yang dijangkakan pekerja pada tahun ini mungkin tidak akan berlaku, ujar Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata, memandangkan majikan dan kumpulan perniagaan masih dalam fasa pemulihan, terlalu awal untuk memastikan sekiranya mereka dapat memenuhi jangkaan pekerja mengenai kenaikan gaji.

Menurut portal FMT, Syed Hussain mengatakan, pekerja perlu mengambil kira bahawa kebanyakan majikan masih dalam fasa pemulihan daripada kemerosotan teruk akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun dan banjir besar yang berlaku akhir tahun lalu.

“Sekiranya ada kenaikan gaji, ia akan lebih rendah pada 2022 berbanding 2021,” tambah beliau.

Katanya, hasil kajian MEF mendapati purata kenaikan gaji pada 2021 untuk eksekutif dan bukan eksekutif adalah masing-masing pada kadar 4.4% dan 4.43%. Berbeza dengan unjuran purata kenaikan gaji pada 2022 menjadi lebih rendah iaitu kenaikan eksekutif sebanyak 4.37% dan bukan eksekutif 4.17%.

Seperti yang dilaporkan FMT, Hays Malaysia, sebuah firma pengambilan pekerja mendedahkan keputusan kajian mereka bahawa lebih 80% professional di Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan gaji pada 2022, di mana 19% melihat kenaikan antara 6% hingga 9% manakala 24% berharap kenaikan sebanyak 10% atau lebih.

Selain itu, Shaun Cheah, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menyatakan dua sebab ketidaksepadanan antara kemahuan pekerja dengan apa yang diberikan majikan.

“Pertama sekali, kos sara hidup melonjak akibat pandemik. Keduanya, terdapat kekurangan bakat profesional yang serius kerana terdapat kekurangan graduan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam perancangan kebolehkerjaan.”

Walaupun majikan mungkin berada dalam kedudukan kewangan yang kurang stabil, bakat profesional boleh meminta imbuhan lebih tinggi berikutan permintaan terhadap khidmat mereka lebih banyak, ujarnya.

Cheah berharap agar Kementerian Sumber Manusia mempunyai dasar yang lebih longgar bagi membantu pemulihan syarikat secara berterusan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: