MUIP Sumbang RM200,000 Untuk Pelajar UIAM Kuantan
KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan bantuan RM200,000 kepada penuntut asnaf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman memberitahu, rekod Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) mendapati kira-kira RM1 juta wang zakat dikeluarkan kakitangan UIAM kampus Kuantan terdiri daripada golongan profesional pelbagai bidang.
“Justeru sebahagian wang zakat berkenaan MUIP serahkan semula kepada UIAM Kampus Kuantan untuk diagihkan kepada asnaf terdiri daripada pelajar.”
Ujarnya lagi, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban golongan terbabit bagi mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
Pengarah Kampus Kuantan, Profesor Dr Kamaruzaman Yunus pula berkata, MUIP sebelum ini banyak memberi bantuan kepada UIAM Kampus Kuantan.
“Tidak lama lagi seramai 1,500 pelajar akan mendaftar di UIAM Kampus Kuantan. Di kalangan mereka terdapat yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.”
“Bantuan kewangan yang diberikan MUIP akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar selain aktiviti keagamaan.”
Hadir sama dalam majlis penyerahan replika cek kepada UIAM semalam adalah Timbalan Rektor, Penyelidikan dan Inovasi UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Ahmad Hafiz Zulkifli.