Tempatan

MUIP Sumbang Komputer Dan Kelengkapan Terkini Kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 19 Julai 2021 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbangkan sebanyak 50 komputer berserta kelengkapan terkini bernilai RM175,000 kepada Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, sebuah pusat pendidikan Islam di negeri Pahang.

“Komputer yang diberikan khusus untuk kegunaan pelajar di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selain pelajar Program Tahfiz Bestari dan program kelas bahasa Arab,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

“Ia juga untuk kegunaan pelajar yang mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir termasuk beberapa universiti di Timur Tengah.”

Tambah beliau, sumbangan komputer itu diharap dapat meningkatkan lagi imej institusi pendidikan Islam di negeri Pahang, seterusnya berupaya melahirkan lebih ramai lagi golongan cerdik pandai agama.

“Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar adalah antara pusat pendidikan terkenal dan tertua di negeri ini yang telah melahirkan ramai golongan pendakwah serta guru agama terkenal.”

Sebelum ini, MUIP menyediakan bantuan sebanyak RM127,360 kepada 31 pelajar Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, bulan depan.

“Bantuan berkenaan bagi urusan bayaran tiket penerbangan, visa, suntikan vaksin dan wang saku sebanyak RM1,200 untuk setiap pelajar,” kata Dr Asmadi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button