MUIP Sediakan RM5.2 Juta, Bantu Individu Yang Berhutang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUANTAN, 02 Februari 2022 – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman memaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan sebanyak RM170.9 juta bagi membantu asnaf yang memerlukan bantuan dalam pelbagai bentuk sepanjang Disember 2021.
Sejumlah daripada wang itu, lebih RM67.1 juta diagihkan kepada asnaf fisabilillah dan lebih RM76.4 juta kepada golongan fakir dan miskin.
“Individu yang dilantik sebagai amil turut menerima bantuan lebih RM16.3 juta, manakala lebih RM10.3 juta diagihkan kepada golongan fakir, seterusnya mualaf (RM5.6 juta),” jelas beliau dengan lebih lanjut.
Menurut Dr. Asmadi Abdul Rahman, sebanyak RM5.2 juta turut disediakan buat golongan Gharimin atau individu yang mempunyai hutang, bantuan untuk Riqab (RM363,580) dan Ibnu Sabil (RM361,310).
Beliau turut mengatakan bahawa masih ramai masyarakat di negeri Pahang tidak mengetahui tentang bantuan yang disediakan dan ada dalam kalangan mereka layak memohon sekiranya tergolong dalam lapan asnaf.
“Kita akan sentiasa membantu golongan asnaf, namun disebabkan tidak mempunyai maklumat berkaitan mereka, bantuan tidak dapat disalurkan. Jadi, kita harapkan kerjasama daripada masyarakat setempat termasuk ketua kampung dan penghulu untuk memberi maklumat mereka yang memerlukan bantuan.”
Dr. Asmadi memaklumkan jika banyak kutipan zakat maka banyak peruntukan yang akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan beliau berharap agar lebih ramai lagi pembayar zakat tampil di negeri itu.
“Lebih RM40.9 juta diperuntukkan pada tahun lalu bagi program pembangunan pendidikan dan sebanyak RM7.4 juta pula diagihkan bagi pelaksanaan program pembangunan masjid, surau dan tanah kubur.”
Walau bagaimanapun, penyaluran bantuan yang disediakan bagi setiap tahun juga bergantung kepada jumlah pembayaran zakat yang diterima oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang.