Tempatan

MUIP Peruntuk RM5 Juta Untuk Dapur Zakat Pahang

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 11 Ogos 2021 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan RM5 juta bagi menjayakan program dapur zakat membabit 663 masjid dan surau di negeri itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, program yang mula diperkenalkan Jun lalu membabitkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada masjid dan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

Bukan itu sahaja, menurut beliau, penduduk bukan Islam yang memerlukan bantuan, pihak masjid dan surau boleh menggunakan infaq tabung masjid untuk menyediakan keperluan diperlukan.

Program dapur zakat MUIP menyediakan bantuan keperluan asas kepada masyarakat setempat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Antara barangan yang disediakan pihak masjid dan surau ialah seperti beras, sardin, bihun, gula, tepung, kicap, minyak masak dan biskut. Barangan berkenaan diagihkan kepada golongan memerlukan di kawasan kampung serta taman perumahan.”

Ujar Dr Asmadi, sebelum ini MUIP menggalakkan masjid dan surau hanya menyediakan barangan kering sahaja, namun kini pihaknya memberi kelonggaran untuk pihak terbabit menyediakan barangan basah mengikut keperluan semasa.

Katanya, pihak jawatankuasa masjid dan surau boleh menyediakan barangan basah mengikut keperluan semasa penduduk setempat dengan memastikan ia segera diagihkan bagi mengelakkan ia rosak.

Program fasa pertama dapur zakat ini bermula dari Jun sehingga Disember ini.

“Jawatankuasa masjid serta surau boleh membuat permohonan tambahan mengikut keperluan semasa jika bantuan berkenaan tidak mencukupi,” kata Dr Asmadi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button