Tempatan

MUIP Anjur Program Makanan Percuma Harian

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menjalankan program makanan percuma harian untuk gelandangan, golongan mak nyah dan mereka yang hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, agihan dilakukan di dua lokasi iaitu Jalan Datuk Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar Kuantan bermula pada pukul 6.30 petang.

“MUIP menyediakan peruntukan RM20,000 bagi menyediakan makanan percuma kepada gelandangan dan kumpulan terbabit. Makanan diagihkan tanpa mengira kaum dan agama.”

Setiap hari, seramai lebih kurang 250 hingga 300 gelandangan menerima makanan percuma daripada MUIP di bandar tersebut di mana menu yang disediakan adalah nasi putih bersama lauk berbeza setiap hari termasuk air mineral.

“Makanan disediakan Dapur Infaq Ummah diketuai penggeraknya, Badrul Jamili Kamaruddin yang berpengalaman penyediaan masakan untuk gelandangan dan golongan asnaf sebelum ini,” kata Asmadi.

Oleh itu, beliau berharap dalam masa yang sama, program ini akan dapat menarik minat pihak lain untuk menyumbang dan menaja makanan untuk golongan yang memerlukan.

“Saya berharap program makanan percuma untuk gelandangan anjuran MUIP ini dapat menarik minat pihak lain untuk memberi sumbangan selain menaja hidangan yang akan disediakan untuk golongan memerlukan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: