Tempatan

MUIP Agih RM3.8 Juta Bantuan Zakat Kepada Agensi Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

PAHANG, 09 Disember 2022 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan RM3.8 juta bantuan zakat kepada agensi utama tempatan di negeri itu bagi menjalankan aktiviti kebajikan dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, agensi terbabit ialah 11 rumah anak yatim yang menerima sebanyak RM220,000, 12 pengurusan masjid dengan masing-masing menerima van jenazah bernilai RM1.7 juta dan 14 badan bukan kerajaan (NGO) menerima bantuan RM280,000.

Agensi-agensi terbabit juga menerima bantuan zakat sebanyak RM20,000 yang diharap dapat melancarkan lagi setiap program yang dirancang pada tahun hadapan.

Selain itu, turut menerima bantuan ialah sembilan agensi kesihatan seperti Majlis Kanser Nasional (Makna), hospital dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital (JKSP) yang menerima sebanyak RM1.6 juta.

MUIP juga menyediakan 48 jenis bantuan zakat kepada golongan asnaf di negeri ini antaranya bantuan kewangan berterusan setiap bulan, bantuan kewangan sekali bayar, peralatan, keperluan asas, kediaman, pembangunan masjid dan pendidikan.

Tambah Datuk Ahmad Hairi Hussain, program pembangunan golongan asnaf fakir miskin mencatat perbelanjaan tertinggi sebanyak RM88.5 juta membabitkan bantuan kewangan bulanan kepada 9,071 penerima termasuk membina sebanyak 104 unit rumah serta baik pulih 248 unit.

Dalam pada itu, MUIP juga menyediakan bantuan pendidikan sebanyak RM40.3 juta kepada 28,512 pelajar yang menyambung pengajian dalam dan luar negara diikuti RM20.9 juta bagi pembangunan masjid dan surau membabitkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun.

Sebanyak RM8.3 juta pula diperuntukkan untuk program dakwah dan pembangunan golongan mualaf serta RM6.8 juta digunakan untuk program bantuan kesihatan asnaf membabitkan seramai 1,652 penerima.

Majlis Agihan Zakat Kepada Agensi, Rumah Anak Yatim, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan dan Masjid Tahun 2022 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan pada 7 Disember lalu itu disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: